Anda di sini

'Saya tiada niat jahat terhadap Lim Guan Eng'

Advertisement
KUALA LUMPUR: Pengarah syarikat Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (ZCSB) Zarul Ahmad Mohd Zulkifli memberitahu Mahkamah Sesyen pada Khamis bahawa beliau tidak mempunyai sebarang motif jahat, tidak mereka cerita dan membuat pernyataan palsu berhubung keterangannya terhadap bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Zarul Ahmad, 62, berkata beliau terhutang budi dengan Lim yang telah menganugerahkan projek mega pembinaan terowong dasar laut dan pembinaan jalan-jalan utama di Pulau Pinang kepada syarikatnya kerana beliau sebagai seorang yang tidak dikenali kepada ahli perniagaan besar.

“Saya tahu perbuatan menjanjikan jumlah peratusan daripada keuntungan sesuatu projek itu adalah kesalahan tetapi saya yakin, sesiapa pun yang senasib dengan saya akan merasa terhutang budi dan ingin membalas budi orang yang membantunya. 

“Saya juga tahu perbuatan meminta balasan dan pemberian upah berkaitan dengan sesuatu projek juga merupakan satu kesalahan. Kesemua perkara ini melibatkan unsur-unsur rasuah yang salah di sisi undang-undang,” katanya ketika membacakan pernyataan saksinya pada perbicaraan kes rasuah Lim yang berdepan empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.

Pada prosiding sebelum ini, Zarul Ahmad memberitahu mahkamah, beliau terkejut apabila Lim meminta suapan sebanyak 10 peratus daripada keuntungan dalam projek pembinaan jalan utama dan terowong dasar laut di negeri itu.

Menurutnya, apa yang beliau faham ketika itu, 10 peratus adalah wang rasuah daripada keuntungan syarikat beliau yang perlu diberikan kepada Lim apabila syarikatnya dianugerahkan projek tersebut.

Terdahulu, saksi pendakwaan ke-23 itu mengakui beliau menghadapi tekanan hidup hingga terpaksa mengambil ubat untuk menenangkan fikiran susulan siasatan projek terowong dasar laut dan jalan-jalan utama itu.

“Pada kali pertama kes terowong ini disiasat, saya telah direman selama 11 hari oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Segala usaha saya untuk menjayakan projek ini hampir musnah dan saya tidak dapat memperoleh pinjaman bank, selain hilang keyakinan daripada ahli-ahli perniagaan untuk membantu saya,” katanya.

Bagaimanapun, Zarul Ahmad berkata beliau tidak berputus asa walaupun terdapat publisiti negatif terhadapnya dan lama-kelamaan, beliau mula mendapat keyakinan daripada komuniti perniagaan untuk meneruskan semula perniagaan. 

“Kerajaan Pulau Pinang pun memberi saya peluang untuk menjalankan projek itu. SPRM juga mengesahkan bahawa saya adalah pemilik saham syarikat yang tulen,” katanya.

Lim berhadapan pertuduhan pindaan menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta, dalam membantu syarikat milik Zarul Ahmad bagi mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702, di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, George Town antara Januari 2011 hingga Ogos 2017. 

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa meminta suapan daripada Zarul Ahmad sebanyak 10 peratus daripada keuntungan diperoleh syarikat itu, sebagai penghargaan mendapatkan projek itu dan dituduh melakukan perbuatan berhampiran The Garden Hotels, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, di sini pada Mac 2011.

Lim yang juga bekas setiausaha agung DAP itu turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat, yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang, Tingkat 21, Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung hari ini.- BERNAMA

Advertisement