Anda di sini

Penganggur tumbuk, tendang adik dipenjara tiga tahun

Advertisement
Tertuduh (tengah) diiring polis keluar dari kamar mahkamah selesai dijatuhi hukum.
Tertuduh (tengah) diiring polis keluar dari kamar mahkamah selesai dijatuhi hukum.

KUCHING: Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini kerana menyebabkan kecederaan parah terhadap adik perempuannya, dengan cara menumbuk hidung dan menendang paha mangsa.

Hakim Afidah Abdul Rahman juga memerintahkan hukuman penjara ke atas tertuduh, Nicholas Luseh, 29, dikuatkuasakan mulai tarikh dia ditangkap iaitu pada 20 Jun lalu.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap gadis berusia 23 tahun itu dalam satu kejadian pada 19 Jun lalu, sekitar jam 8 malam di kediaman mereka sekeluarga di Taman Alamanda Indah di sini.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Fakta kes mendedahkan tertuduh mengamuk dan bertindak agresif setelah mangsa menegur tertuduh yang bercakap kasar terhadap ibu mereka pada hari kejadian.

Tertuduh seterusnya menendang paha serta menumbuk hidung mangsa. Laporan doktor mengesahkan mangsa patah tulang hidung.

Difahamkan, tertuduh disyaki terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

Selain itu, tertuduh juga dilapor mengambil penyodok besi dan memecahkan tiga unit tingkap gelangsar kaca serta cermin kereta kompak milik bapanya yang berusia 60 tahun, dalam kejadian sama.

Anggaran kerugian adalah lebih kurang RM2,000.

Untuk perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak melebihi lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh mengaku bersalah melakukan perbuatan tersebut dan Majistret Zaiton Anuar menetapkan tertuduh didenda RM4,000 atau tujuh bulan penjara sekiranya gagal membayar.

Pendakwaan dilakukan secara berasingan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Aiman Mutallib Mohamad Shariff dan Pegawai Pendakwa ASP Hisyam Junaidi.

  • oleh
  • Advertisement