Anda di sini

Pelan Pemulihan Pelancongan 2.0 tawar diskaun, baucar dan rebat untuk rakyat

Advertisement
 

SHAH ALAM: Program Minat Khas di bawah Pelan Pemulihan Pelancongan (PRE) 2.0 yang dilancarkan hari ini akan memberi manfaat kepada rakyat melalui insentif dalam bentuk diskaun, baucar dan rebat menerusi penawaran pelbagai pakej pelancongan menarik dalam negara.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri (gambar) berkata di bawah pelan tersebut, pakej pelancongan dan baucar bernilai RM6.7 juta disasarkan bakal terjual merangkumi tiga segmen pelancongan iaitu taman tema, skuba selam menerusi kempen ‘Jom Dive 2.0’ dan inap desa melalui kempen ‘Jom Cuti di Homestay’.

Nancy berkata penganjuran kali ini melibatkan kerjasama Persatuan Taman Tema dan Pusat Hiburan Keluarga Malaysia (MATFA), Persatuan Penyelam Skuba Malaysia (MSDA) dan Persatuan Kampungstay dan Homestay Malaysia (MKHA). 

“Pelan pemulihan ini juga diharapkan dapat membantu penggiat industri untuk terus berdaya saing dalam menyemarakkan kembali industri pelancongan domestik,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran pelan tersebut di sini hari ini.  

Nancy berkata antara pakej yang ditawarkan kepada Keluarga Malaysia menerusi ketiga-tiga segmen itu ialah diskaun sehingga 40 peratus dan e-baucar bernilai RM10 bagi setiap pembelian tiket masuk ke taman tema dan pusat hiburan keluarga yang terlibat bermula hari ini hingga 2 Oktober. 

“Setiap pengguna layak melakukan penebusan maksimum tiga kali di tiga taman tema atau di pusat hiburan keluarga berlainan dan pembelian perlu dibuat melalui laman web www.tickets.matfa.org.my.

“Bagi kempen ‘Jom Dive 2.0’ menawarkan diskaun sebanyak RM400 bagi setiap pembelian pakej selam skuba berharga RM1,000 dan ke atas dalam satu transaksi melalui laman web www.xtvt.com.my yang terhad kepada 1,994 pembeli pertama berdasarkan terma dan syarat ‘siapa cepat, dia dapat’,” katanya.

Sementara itu, Nancy berkata bagi kempen ‘Jom Cuti di Homestay’, pengguna layak menikmati rebat sebanyak RM50 hingga RM300 bagi setiap pembelian pakej berharga RM100 dan ke atas dengan penebusan maksimum sehingga tiga kali. 

“Sebanyak 150 pakej ditawarkan di portal jomhomestay.my dengan penglibatan 67 kluster pengusaha inap desa dari seluruh Malaysia dan tempoh sah laku adalah hingga 31 Dis ini,” katanya. 

Sementara itu, mengulas berhubung persediaan MOTAC menerima pelancong dalam menghadapi gelombang baharu COVID-19, Nancy berkata pihaknya akan sentiasa memantau perkembangan terkini kes dan akan mengikut arahan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan. - BERNAMA
 

Advertisement