Anda di sini

MOSTI bantu syarikat pemula Sarawak terus membangun

Advertisement
Dr Adham (tiga kiri, barisan belakang) menyaksikan pertukaran MoU antara Norman (kiri) dan Pengurus Besar TEGAS Digital Village Manzoor Hayat Khan sambil disaksikan Len Talif (di kanannya) dan yang lain.
Dr Adham (tiga kiri, barisan belakang) menyaksikan pertukaran MoU antara Norman (kiri) dan Pengurus Besar TEGAS Digital Village Manzoor Hayat Khan sambil disaksikan Len Talif (di kanannya) dan yang lain.

KUCHING: Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai antara Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle) dan Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) akan membantu syarikat pemula di Sarawak untuk terus membangun, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Seri Dr Adham Baba.

“MOU ini adalah inisiatif MYStartup dan TEGAS akan melaksanakan program serta aktiviti MYStartup di Sarawak manakala Cradle akan menyokong program pembangunan ekosistem permulaan anjuran TEGAS di Sarawak.

“Kita bukan sekadar menyediakan strategi dan inisiatif tetapi turut memastikan syarikat pemula mempunyai keupayaan untuk bergerak ke peringkat antarabangsa dan mempunyai akses kepada pasaran yang lebih luas,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan siri Roadshow MYStartup edisi keempat di TEGAS Digital Village di sini, hari ini.

Pada majlis sama, beliau menyaksikan pertukaran MoU antara TEGAS dan Cradle yang merupakan agensi pelaksana MOSTI serta beberapa pertukaran MOU lain.

Satu lagi pertukaran MOU penting ialah antara Cradle dan Malaysia Debt Ventures Berhad (MDV).

Ia merupakan sebahagian daripada inisiatif yang menyediakan pembiayaan daripada peringkat awal ke peringkat seterusnya untuk menangani beberapa cabaran yang dihadapi oleh syarikat permulaan di Malaysia.

“Di bawah program ini, kesemua pilihan pembiayaan sedia ada daripada Cradle dan MDV akan diadaptasi menjadi satu corong pembiayaan (funding funnel) kepada pemula.

“MoU ini merupakan langkah pertama bagi mengurangkan jurang kegagalan atau the valley of death,” jelas beliau.

Selain itu, Cradle juga bertukar MoU dengan syarikat bioteknologi Sarawak iaitu syarikat GK Aqua Sdn Bhd (GK Aqua) sebagai penyedia latihan kepada semua peserta di bawah program upskilling Cradle.

Melalui usaha sama ini, akan berlaku pemindahan kepakaran dalam bidang biosains dan GK Aqua akan menjadi penyedia latihan rasmi untuk membentuk serta meningkatkan tenaga kerja mahir dalam industri tersebut bermula bulan depan.

MoU lain turut ditukar antara TEGAS dengan Aerodyne, TEGAS dengan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan TEGAS dengan Taylor’s University.

Dr Adham menegaskan bahawa usaha dan inisiatif MOSTI tidak terhenti di situ sahaja.

Beliau berkata, terdapat lebih daripada 10 bidang kemahiran yang akan diberi keutamaan antaranya termasuk percetakan 4D/5D, Sistem Kecerdasan Termaju, Augmentasi Analitik dan Penerokaan serta Teknologi Blockchain.

“Bagi menampung permintaan tinggi terhadap pekerja berkemahiran tinggi dalam bidang teknologi dalam ekosistem pemula Malaysia, kita juga mempunyai program Upskilling for Deeptech and Futureskills di bawah Cradle.

“Program ini bertujuan membantu rakyat Malaysia terutama dalam meningkatkan set kemahiran sedia ada berdasarkan keperluan industri di samping membangunkan keperluan modal insan negara dalam bidang sains dan teknologi,” katanya.

Dilancarkan pada Februari tahun ini, Program MYStartup terdiri daripada beberapa program yang bertujuan memperkasa ekosistem dan komuniti permulaan di Malaysia melalui kandungan yang memfokuskan kepada pembangunan dan pembangunan mampan syarikat pemula serta pembinaan kapasiti dan modal insan.

Kerjasama antara MOSTI, Cradle dan pihak berkepentingan ekosistem permulaan Malaysia dalam jerayawara ini menunjukkan komitmen MOSTI dalam menzahirkan usaha dan komitmen kerajaan untuk memastikan Keluarga Malaysia mendapat manfaat daripada usaha pemerkasaan dan pembangunan permulaan negara.

Melalui usaha ini, impian menjadikan Malaysia pilihan utama pengasas dan syarikat asing untuk menubuhkan dan memulakan operasi mereka di negara ini dapat direalisasikan sekali gus melonjakkan ekonomi negara.

Jerayawara di Kuching adalah sebahagian daripada usaha untuk memastikan komuniti permulaan yang terletak di Sabah dan Sarawak tidak dikecualikan daripada menyertai dan mendapat manfaat daripada acara pemerkasaan permulaan melalui Program MYStartup.

Turut hadir Ketua Setiausaha MOSTI Datuk Zainal Abidin Abu Hassan, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar merangkap Pengerusi TEGAS Datu Len Talif Salleh, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan merangkap Bendahari TEGAS Datuk Snowdan Lawan, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Dr Hazland Abang Hipni, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Operasi) Datu Dr Sabariah Putit dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cradle Norman Matthieu Vanhaecke.

Advertisement