Anda di sini

Lapan kakitangan perubatan Argentina akan dibicara bagi kematian Maradona

Advertisement
 

BUENOS AIRES: Lapan kakitangan perubatan akan dihadapkan dalam perbicaraan bagi kecuaian jenayah sehingga menyebabkan legenda bola sepak Argentina Diego Maradona meninggal dunia di atas katil ketika  menerima rawatan selepas pembedahan.

Seorang hakim kelmarin mengarahkan perbicaraan pembunuhan bersalah bagi lapan orang, yang termasuk doktor keluarga Maradona dan jururawat, berdasarkan bukti bahawa mereka telah gagal untuk “mengambil tindakan yang boleh menghalang kematian” pada November 2020.

Tiada tarikh perbicaraan telah ditetapkan.

Maradona meninggal dunia pada usia 60 tahun ketika sedang beransur pulih daripada pembedahan otak akibat darah beku, dan selepas perjuangan selama beberapa dekad berdepan dengan ketagihan kokain dan alkohol.

Beliau telah ditemui meninggal dunia di atas katilnya dua minggu selepas menjalani pembedahan, di sebuah rumah sewa di kawasan kejiranan eksklusif di Buenos Aires di mana beliau telah dibawa selepas dibenarkan keluar dari hospital.

Beliau telah didapati meninggal dunia akibat serangan jantung.

Satu panel seramai 20 pakar perubatan dikumpulkan oleh pendakwa raya umum Argentina memutuskan pada tahun lepas bahawa rawatan Maradona adalah penuh dengan “kekurangan dan penyelewengan”.

Ia menyatakan pemain bola sepak itu “mungkin mempunyai peluang untuk meneruskan hidup yang lebih baik” dengan rawatan yang sepatutnya di sebuah fasiliti peubatan yang bersesuaian.

Pakar mendapati penjaganya telah membiarkan pemain yang disegani itu berdepan dengan nasibnya bagi “satu tempoh masa yang sangat panjang dan menyakitkan” membawa kepada kematiannya.

Pendakwa raya telah meminta agar penjaganya dihadapkan dalam perbicaraan bagi homisid kecuaian, mendakwa bahawa mereka telah mengabaikannya “sehingga kematiannya”.

Lapan orang akan dihadapkan dalam perbicaraan bagi satu definisi perundangan untuk homisid dinyatakan sebagai kecuaian yang dilakukan  dalam pengetahuan bahawa ia mungkin membawa kepada kematian seseorang.

Turut didakwa dalam kes itu adalah pakar bedah neurologi dan doktor keluarga Leopoldo Luque, pakar psikiatris Agustina Cosachov, pakar psikologi Carlos Diaz, penyelaras perubatan Nancy Forlini, penyelaras kejururawatan Mariano Perroni, jururawat Ricardo Almiron dan Dahiana Madrid, serta doktor klinik Pedro Paglo Di Spagna.

Pendakwa raya mendakwa defendan telah bersikap “protagonis untuk satu  kemasukan ke hospital yang tidak dijangkakan, kekurangan sepenuhnya dan kecuaian di rumah”.

Mereka berdepan risiko bagi hukuman merangkumi penjara selama lapan hingga 25 tahun.

Kesemua mereka telah menafikan bertanggungjawab dan tiada seorangpun dalam tahanan praperbicaraan.

Siasatan telah dibuka berikutan aduan yang difailkan oleh dua daripada lima anak Maradona terhadap Luque, yang mereka persalahkan bagi keadaan bapa mereka yang bertambah teruk selepas pembedahan.

Maradona telah dikenali secara meluas sebagai pemain bola sepak yang hebat dalam sejarah.

Bekas bintang Boca Juniors, Barcelona dan Napoli itu menderitai masalah hati, buah pinggang dan kardiovaskular ketika beliau meninggal dunia.

Beliau menjadi idola kepada berjuta-jura rakyat Argentina selepas memberikan inspirasi kepada negara Amerika Selatan itu bagi kejayaan kedua dalam Piala Dunia pada 1986.

Keputusan mahkamah muncul ketika Argentina menyambut ‘Day of the Footballer’ bagi memperingati prestasi Maradona dalam suku akhir 1986 menentang England – ketika beliau menjaringkan gol yang dikenali sebagai “hand of God” dan kemudian “Goal of the Century” yang diundi dalam satu tinjauan pendapat FIFA.

Kematian beliau telah mengejutkan peminat di seluruh dunia, dan berpuluh ribu orang berbaris untuk memberikan penghormatan kepada kerandanya, ditutupi dengan bendera Argentina, di istana presiden di Buenos Aires dalam perkabungan negara selama tiga hari. — AFP

Advertisement