Anda di sini

BJF landasan terbaik hidup minat muzik jazz

Advertisement
 Abdul Karim (kanan) ditemani tetamu lain menyaksikan persembahan 'boat lute' ketika lawatan ke BJF di Miri, petang hari ini.
Abdul Karim (kanan) ditemani tetamu lain menyaksikan persembahan 'boat lute' ketika lawatan ke BJF di Miri, petang hari ini.

MIRI: Festival Borneo Jazz (BJF) adalah landasan terbaik menghidupkan minat muzik jazz dalam kalangan masyarakat selain memperluas hubungan kerjasama golongan pemuzik.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, aktiviti juga cara memperkenal muzik serta memberi tenaga baharu kepada penganjuran festival muzik peringkat tempatan.

"Setelah lebih dua tahun (kerana penularan pandemik COVID-19), kita sekali lagi dapat menikmati muzik jazz secara fizikal," katanya ketika menyaksikan persembahan 'boat lute' ketika lawatan ke BJF di sini petang, hari ini.

Dianjurkan pertama kali secara hibrid iaitu secara dalam talian dan fizikal, dianggarkan lebih 3,000 pengunjung menghadiri acara tiga hari itu di Coco Cabana di sini.

"Kita berharap kehadiran pengunjung mencapai 90 peratus iaitu lebih 900 orang pada setiap hari," jelasnya.

Edisi ke-17 kali ini dianjurkan dengan tema 'Jazz In The Jungle' menyajikan pelbagai program dan menampilkan ramai artis baharu.

Antara programnya ialah Borneo Jazz FAB LAB iaitu bengkel interaktif intensif selama enam minggu dihadiri 30 pemuzik diadakan bermula 9 Mei hingga 18 Jun.

Bengkel diketuai dua pemuzik antarabangsa iaitu pemain saksofon, komposer dan penyusun lagu Chris Stalk dari Perancis dan pemain bass, penerbit dan DJ dari Switzerland Jules Vulzor.

Ia turut menampilkan persembahan julung kali Simfoni Orkestra Negeri Sarawak (SONS) daripada Majlis Seni Sarawak.

Sebanyak 40 vendor artisan menjual pelbagai barangan kraf seperti bakul, manik serta makanan dan minuman terlibat memeriahkan suasana persekitaran.

Pengunjung juga boleh menyaksikan pameran alat muzik 'boat lute' iaitu yang pertama kali diadakan di sini.

Pengunjung didedahkan tentang proses dan bunyi alat muzik itu bermula semalam hingga esok (Ahad) dari jam 11 pagi hingga 7 malam.

Turut diadakan ialah sesi perkongsian tentang muzik itu oleh pemain pada jam 2 petang selama tiga hari.

Selain berhibur, pengunjung juga ditingkatkan pemahaman tentang isu alam sekitar, pemuliharaan dan kelestarian.

Menerusi aktiviti 'Eco Drum Project', pengunjung diperkenalkan dengan penghasilan dram dan peralatan perkusi menggunakan barangan kitar semula.

Majlis Bandaraya Miri (MBM) dan MYY Living Art bekerjasama mengendalikan program Eco Art Project iaitu program lanjutan kempen tanpa plastik BJF sejak 2019.

Setiap RM10 daripada pembelian tiket secara dalam talian berharga RM25 akan disalurkan ke dalam tabung penanaman anak pokok dilakukan selepas festival.

Hadir sama Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Sebastian Ting, Pengerusi Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) Dennis Ngau dan Ketua Pegawai Eksekutif STB Shazede Salleh Askor.

  • oleh
  • Advertisement