Anda di sini

Banteras kesesakan di Penjara: Katherine

Advertisement
 Katherine (lapan kanan) merakamkan gambar kenangan bersama tetamu jemputan sempena Majlis Jalinah Kasih Penjara Wanita.
KENANGAN: Katherine (lapan kanan) merakamkan gambar kenangan bersama tetamu jemputan sempena Majlis Jalinah Kasih Penjara Wanita.

KOTA KINABALU: Isu kesesakan di penjara perlu diselesaikan dengan pelaksanaan beberapa usaha melalui kerjasama agensi berkaitan berikutan penjara di Sabah mencatatkan kesesakan lebih 60 peratus daripada kapasiti ditetapkan.

Kapasiti penjara Kota Kinabalu boleh memuatkan 1,500 banduan bagaimanapun terdapat kira-kira 3,000 banduan buat masa ini dan isu kesesakan turut direkodkan di Penjara Tawau dan Sandakan.

Pengerusi Lembaga Hakim Pelawat Penjara Sabah (LHP) Datuk Katherine Lee berkata sejak 2020 Jabatan Penjara mula membebaskan banduan tempatan yang berkelakuan baik dengan baki tiga bulan hukuman untuk dibebaskan mengikut Seksyen 43 Akta Penjara 1995.

“Tindakan ini adalah salah satu strategi yang baik untuk memerangi kesesakan, bagaimanapun terdapat keperluan rumah transit untuk menempatkan banduan tempatan yang dibebaskan terutama bagi yang tidak mempunyai rumah dan keluarga sepanjang tempoh membantu mereka berintegrasi semula ke dalam komuniti.

“LHP menghargai usaha Kerajaan Negeri untuk membantu merintis permulaan program terbabit sekurang-kurangnya sebagai projek titik mula bagi sebahagian daripada perkhidmatan kepada Sabah. 

“Bantuan dari segi peruntukkan beberapa bangunan atau kawasan terbiar untuk penubuhan rumah transit sangat diharapkan bagi memastikan nasib banduan dibebaskan terpelihara,” katanya.

Tambahnya LHP dengan kerjasama Jabatan Penjara Negeri Sabah menggalakkan sektor perniagaan awam untuk memainkan peranan penting dalam membantu memenuhi objektif ini.

“Dengan sokongan Kerajaan Negeri dan sektor perniagaan awam, LHP dapat bekerjasama dengan Majlis Keadilan Restoratif Sabah (CRJS) melalui penaungnya Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin bagi menubuhkan rumah dan pelaksanaan program.

“Ianya membantu penghuni yang dibebaskan memulakan kehidupan baharu selain menyediakan pekerjaan seterusnya mewujudkan pekerja terlatih kepada Sabah,” katanya.

Dalam pada itu katanya LHP turut memainkan peranan penting bagi pembebasan banduan melalui pemilihan faktor tingkah laku yang baik dan bagi banduan berumur 60 tahun ke atas.

Beliau berkata demikian semasa hadir dalam Majlis Jalinan Kasih bagi Penjara Wanita di sini.

Turut hadir Pengerusi Yayasan Kasih, Datuk Seri Panglima Raya Erom dan Timbalan Pengarah (Pengurusan) Penjara Wanita Kota Kinabalu, Rosliza Ishak.

Beliau berkata majlis jalinan kasih bukan sahaja mengeratkan hubungan kekeluargaan semasa pertemuan bersemuka dengan keluarga malah usaha ini mampu mengingatkan banduan bahawa masih ada orang di luar sana yang menyayangi dan mengambil berat terhadap mereka walaupun dipenjarakan. 

“Program ini juga amat bermakna kepada banduan dan berpeluang bertemu serta berpelukan dengan ahli keluarga yang lama tidak ditemui.

“Pemilihan program terarah kepada penghuni yang mempunyai baki hukuman sekurang-kurangnya tiga tahun atau kurang dan mempunyai rekod serta kelakuan baik dalam tempoh enam bulan terakhir sebelum pemilihan,” katanya.

Tambahnya Jabatan Penjara juga melakukan program pemulihan dengan memberi peluang kepada banduan untuk meneruskan pengajian serta pendedahan lkemahiran seperti memasak, membuat pastri, menjahit, muzik dan seni dan pertukangan kayu, pembinaan, pemasangan batu bata, kerja simen, kimpalan kepada banduan lelaki yang boleh membantu mereka menyara kehidupan apabila dibebaskan selepas menjalani hukuman.

  • oleh
  • Advertisement