Anda di sini

Abdul Karim menyifatkan pemergian atlet penembak, Stephanie mengejutkan

Advertisement
 

SIBU: Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah menyifatkan berita pemergian atlet muda penembak SUKMA, Stephanie Sim (gambar) amat mengejutkan.

Pada sidang media semalam, beliau melahirkan rasa terkejut dan tidak pernah menyangka atlet muda itu diserang angin ahmar (strok) pada usia 19 tahun.

"Ini berita sangat mengejutkan. Beliau adalah prospek pingat kami dalam acara menembak.

"Saya benar-benar terkejut, tetapi Tuhan lebih menyayanginya. Pemergiannya merupakan satu perkara sangat tragis dan menyedihkan bagi kami di kementerian kerana kehilangan seorang atlet berdedikasi," katanya selepas melancarkan Borneo Tribal Music Festival di sini, hari ini.

Abdul Karim berkata, mendiang Stephanie telah disenarai pendek bertanding pada SUKMA dan kini menjalani latihan.

"Mendiang sudahpun berada dalam skuad dan kami menjangkakan beliau akan menyumbang pingat.

“Saya merakamkan rasa simpati dan takziah kepada keluarganya," jelas beliau.

Menurutnya, mendiang juga cemerlang dalam pelajaran dan baru sahaja diterima masuk ke universiti.

Mendiang meninggal dunia akibat strok pada 19 Jun lalu di Hospital Umum Sarawak.

Latihan terakhirnya bersama skuad menembak SUKMA Sarawak pada 11 Jun lalu.

Mendiang disenarai pendek acara dalam 10 meter pistol udara wanita individu, berpasukan dan berpasukan campuran serta 25 meter pistol wanita individu dan berpasukan campuran untuk SUKMA Ke-20.

Pada SUKMA Perak 2018, beliau memenangi pingat gangsa acara 10 meter pistol udara wanita dan 25 meter pistol berpasukan wanita.

  • oleh
  • Advertisement