Anda di sini

Pengusiran warga asing terjejas akibat COVID-19

Advertisement
__alt__

KOTA KINABALU: Usaha pengusiran warga asing yang ditahan di depot Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Sabah terjejas disebabkan penularan COVID-19.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Jonathan Yasin berkata terdapat seramai 7,161 orang tahanan berdasarkan perangkaan tahanan keseluruhan yang ada ketika ini.

“Daripada jumlah terbabit, 6,597 adalah warganegara Filipina yang masih ditahan di semua keempat-empat depot Imigresen.

“Terdapat jurang perbezaan yang sangat ketara dalam pelaksanaan penghantaran balik tahanan warganegara Filipina sejak tahun 2018 sehingga 2022.

“Statistik pelaksanaan pengusiran warganegara Filipina bagi tahun 2019 hingga 2022 semakin menurun berbanding tahun 2018 yang merekodkan penghantaran pulang seramai 10,905 orang,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2021 JIM, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).

Jonathan berkata seperti sedia maklum, ancaman pandemik COVID-19 memberi impak yang sangat besar kepada keseluruhan perkhidmatan awam secara amnya dan JIM secara khususnya.

Tambahnya ianya dapat dilihat dari segi proses pengusiran tahanan warga asing yang tergendala sejak pandemik COVID-19 bermula.

“Ia semakin menurun disebabkan faktor utama iaitu ancaman pandemik COVID-19 yang membawa kepada penutupan sempadan antarabangsa negara-negara terlibat.

“Oleh demikian, sejajar dengan peralihan ke fasa endemik, kita berharap pihak Kedutaan Filipina memberi kerjasama sepenuhnya dan dapat mempermudahkan urusan pengusiran tahanan warganegara Filipina seperti sebelumnya.

“Ia bagi membolehkan tahanan ini balik ke negara asal dan menjalani kehidupan normal,” katanya.

Menurutnya, kerjasama daripada pihak kedutaan dan kerajaan Filipina adalah sangat penting bagi memastikan proses pengusiran dapat dilaksanakan dan diselesaikan dengan kadar segera.

Untuk rekod, seramai 9,610 individu berjaya dihantar pulang pada tahun 2019 sebelum menurun kepada 4,408 warga asing pada tahun 2020.

Manakala bagi tahun 2021 pula mencatatkan penghantaran seramai 1,184 individu dan hanya 90 individu berjaya dihantar pulang tahun ini.

  • oleh
  • Advertisement