Anda di sini

MARA komited lahirkan usahawan luar bandar: Azizah

Advertisement
 Azizah merakamkan gambar kenangan selepas merasmikan Program Outreach Bina Niaga Luar Bandar di Pitas.
ALBUM: Azizah merakamkan gambar kenangan selepas merasmikan Program Outreach Bina Niaga Luar Bandar di Pitas.


PITAS: Majlis Amanah Rakyat (MARA) memberi jaminan akan terus komited memperkasa program keusahawanan untuk masyarakat luar bandar agar mampu meneroka serta memajukan potensi kekayaan yang dimiliki.


Pengerusi MARA, Datuk Seri Panglima Azizah Mohd Dun berkata, setiap rakyat walau di mana sahaja mereka berada perlu diberi peluang meningkatkan keupayaan diri khususnya dalam bidang perniagaan dan keusahawanan.


Menurut beliau, sejajar dengan itu, MARA akan terus membantu meneroka potensi industri di sesuatu tempat melalui empat ekosistem lengkap iaitu membantu, membimbing pewujudan usahawan baru, memberi pendedahan, pemantapan serta pemerkasaan usahawan sedia ada untuk meningkatkan perniagaan mereka. 


“Seperti daerah Pitas ini yang terkenal dengan kepelbagaian industri yang boleh diterokai dan dikomersialkan bukan sahaja secara domestik malahan di peringkat luar negara. 


“Oleh itu, kita mesti memperluaskan kefahaman dan kesedaran serta pengetahuan rakyat mengenai potensi yang mereka miliki dalam memperkasakan agenda nasional memartabatkan bangsa kita,” katanya.


Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Program Outreach Bina Niaga Luar Bandar Daerah Pitas di sini hari ini.

 
Hadir sama ialah Pembantu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Dato’ Sri Dr Ruddy Awah; Penolong Pegawai Daerah Pitas, Mark Hassan Libau; Pengarah MARA Sabah, Dr Shahrizin Abdul Sarhadat dan Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah, Dato Redonah Bahanda.

 Azizah melancarkan produk usahawan program khas MARA yang diadakan di Dewan Kelab Belia dan Sukan Pitas.
LANCAR: Azizah melancarkan produk usahawan program khas MARA yang diadakan di Dewan Kelab Belia dan Sukan Pitas.


Jelas Azizah lagi, bagi membangunkan Sektor Keusahawanan negeri Sabah, seramai 3,843 usahawan Sabah telah mendapat kemudahan MARA melibatkan Latihan Keusahawanan, Pensijilan, Pendigitalan, pembiayaan lima perniagaan dan penyewaan premis perniagaan dengan melibatkan peruntukan sebanyak RM100.95 juta.


Katanya, MARA Sabah juga telah meluluskan RM98.470 juta melibatkan pelbagai skim kemudahan pembiayaan MARA seperti Pembiayaan Kontrak SPIKE, SPIM dan Skim Dananita yang telah memberi manfaat seramai 1,121 orang usahawan di negeri Sabah.


“Pemerkasaan wanita juga merupakan satu agenda nasional yang menjadi wadah kepada pembinaan negara dan ekonomi. Walaupun dalam keadaan yang getir dan tidak menentu semasa pandemik COVID-19, peranan wanita khususnya mereka yang bergelar usahawan tidak pernah luntur dan kekal memainkan peranan sebagai penyumbang utama peningkatan ekonomi setempat dan secara amnya kepada negara.


“Melalui Program Latihan Keusahawanan MARA, sehingga 31 Mei ini seramai 9,421 orang usahawan wanita telah mendapat manfaat program ini. MARA juga telah memperkenalkan dua program baharu iaitu Program Pensijilan Usahawan MARA (2021) dan Program Pendigitalan Perniagaan MARA (2022) yang masing-masing memberi manfaat kepada 816 orang dan 107 orang usahawan Wanita di negeri Sabah ini,” katanya.


Tambah beliau, daripada tahun 2020 sehingga 31 Mei tahun ini seramai 1,121 orang usahawan Sabah telah mendapat pembiayaan perniagaan MARA melibatkan kelulusan RM98.470 juta meliputi pelbagai skim pembiayaan yang disediakan. 


“Daripada jumlah tersebut seramai 583 orang adalah usahawan wanita yang telah mendapat pembiayaan MARA pelbagai skim pembiayaan melibatkan peruntukan sebanyak RM39.9 juta. Daripada jumlah tersebut seramai 142 orang Usahawan Wanita telah mendapat kelulusan untuk Skim DANANITA melibatkan peruntukan sebanyak RM6.2 juta,” katanya.


Tambah beliau, MARA Sabah menyasarkan penglibatan 60 peratus usahawan wanita terutama usahawan wanita luar bandar, golongan B40 dan juga ibu tunggal yang memerlukan pengetahuan dan kemahiran tentang E-Commerce dan pemasaran digital bagi meningkatkan potensi dan pendapatan perniagaan mereka.


“Saya menyeru kepada komuniti usahawan yang mengikuti program pada hari ini agar dapat selalu berhubung dengan MARA tentang peluang kemudahan yang ditawarkan khususnya dalam mendepani pasca pandemik yang mana kita sudah beralih kini ke fasa endemik,” ujar beliau.


Pada majlis itu, turut diadakan penyerahan sumbangan CSR Yayasan Pelajaran MARA (YPM) bantuan pendidikan RM5,000 kepada 50 pelajar di daerah Pitas berupa sumbangan wang tunai RM100 dan peralatan beg sekolah.


Selain itu, turut dilancarkan produk usahawan Program khas MARA 'Beauty in Business', jenama Trigona Honey Cleanser yang diasaskan oleh Audry Moruwi.
 

  • oleh
  • Advertisement