Anda di sini

Malaysia mampu capai liputan Internet 100 peratus sebelum 2025 dengan satelit MEASAT-3d

Advertisement
KUALA LUMPUR: Satelit MEASAT-3d penting kepada negara dalam mencapai liputan Internet 100 peratus sebelum 2025 dan meningkatkan kualiti perkhidmatan jalur lebar, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata perkhidmatan satelit itu yang dilancarkan hari ini boleh digunakan dalam masa beberapa bulan lagi.

“Jadi pelancaran (satelit MEASAT-3d) hari ini ada dua aspek yang penting, yang pertama memungkinkan kita mencapai liputan 100 peratus bagi semua kawasan berpenduduk sebelum tahun 2025. 

“Keduanya, kita boleh meningkatkan kualiti perkhidmatan jalur lebar, meningkatkan perkhidmatan kelajuan tinggi sepertimana yang kita gunakan rangkaian gentian optik yang sedang kita laksanakan di kawasan-kawasan yang maju,” katanya ketika ditemui media selepas menyaksikan siaran langsung pelancaran MEASAT-3d di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur hari ini. 

Malaysia melalui MEASAT Satellite Systems Sdn Bhd (MEASAT) melancarkan Satelit MEASAT-3d di Pusat Angkasa Lepas Eropah Kourou, French Guiana, Amerika Selatan pada 5.50 pagi waktu Malaysia (6.50 petang waktu tempatan, 22 Jun).

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyaksikan siaran lintas langsung pelancaran MEASAT-3d dari Kourou Space Centre, French Guiana di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC-KL) hari ini.

 Turut hadir Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa - Gambar BERNAMA
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyaksikan siaran lintas langsung pelancaran MEASAT-3d dari Kourou Space Centre, French Guiana di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC-KL) hari ini.

 Turut hadir Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa - Gambar BERNAMA

Satelit kelapan yang dianggar melibatkan kos RM1.2 bilion dengan jangka hayat 18 tahun itu dijangka mampu merapatkan jurang ketersambungan digital dan membentuk masa depan ketersambungan yang lebih baik untuk rakyat Malaysia, selaras inisiatif kerajaan melalui pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

Annuar berkata pelancaran itu merupakan satu perkembangan bersejarah dan sangat penting kepada usaha kerajaan menjayakan sepenuhnya dan melengkapkan pelaksanaan program JENDELA dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL).

Beliau berkata negara mempunyai jangkaan liputan Internet sehingga 97 peratus di bawah program JENDELA 1 yang menghubungkan kawasan berpenduduk dengan menggunakan kaedah jaringan gentian optik manakala baki tiga peratus merupakan kawasan pedalaman. 

“Kawasan-kawasan ini (pedalaman) sudah tentu perlu menggunakan teknologi satelit. Lagipun sekarang memang kita telah pun menggunakan teknologi satelit tetapi lazimnya sekarang ini yang sedia ada memberikan perkhidmatan jalur lebar kapasiti yang rendah, kelajuan yang rendah. 

“Kebanyakan semuanya kurang daripada 10 Mbps (mega bit per saat), tetapi MEASAT-3d berkeupayaan memberikan perkhidmatan jalur lebar di kawasan yang saya maksudkan tadi antara 35 Mbps hingga 100 Mbps. 

“Sekarang mereka guna asas (kelajuan Internet) sahaja mungkin sedikit untuk data seperti gambar dan sebagainya, tetapi kalau nak buat untuk kegunaan yang lebih banyak penggunaan datanya, teknologi satelit yang ada sekarang tak cukup,” katanya.

Annuar berkata perkhidmatan satelit  MEASAT-3d itu akan dapat dinikmati rakyat Malaysia selepas tempoh percubaan selesai kira-kira sebulan dari sekarang. 

Menurutnya capaian Internet kawasan pedalaman sudah ada dalam rangka tindakan MyDIGITAL, selain pihaknya telah menyiapkan pelan untuk memastikan liputan Internet mencapai sehingga 100 peratus dan kelajuan keseluruhan sekurang-kurangnya 35 Mbps menjelang 2025. 

“Matlamat yang ada dalam rangka tindakan itu akan tercapai sepenuhnya dengan adanya MEASAT-3d yang dilancarkan hari ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Mohammad Mentek mengucapkan tahniah kepada MEASAT di atas pelancaran satelit MAESAT-3d itu. 

Beliau berkata pelancaran itu akan membolehkan rakyat Malaysia menikmati ketersambungan yang lebih baik terutama di kawasan pedalaman.

“Penambahan liputan ini akan membantu negara mencapai matlamat untuk merapatkan jurang ketersambungan digital antara kawasan pedalaman dan bandar seperti digariskan dalam pelan JENDELA.

“Dengan adanya akses kepada Internet berkelajuan tinggi di seluruh negara, semua rakyat akan menikmati akses kepada manfaat sosioekonomi dikuasakan oleh Internet termasuk melibatkan diri dalam aktiviti e-dagang,” katanya pada sidang media dari Kourou.

Mohammad berkata dengan pelancaran satelit itu, Malaysia boleh menggalakkan lebih banyak perusahaan kecil dan sederhana (PKS), terutamanya di kawasan luar bandar untuk menyertai e-dagang.

“Ini secara tidak langsung boleh meningkatkan pendapatan mereka juga, seperti yang kita tahu semasa pandemik COVID-19 kebanyakan PKS terjejas tetapi satu-satunya kumpulan yang tidak begitu terjejas adalah mereka yang berada di dalam e-dagang, mereka yang menjalankan perniagaan dalam talian.

“Semoga selepas ini bukan hanya MEASAT, syarikat telekomunikasi lain juga boleh melengkapkan program ini dengan memperkenalkan produk baharu atau program baharu untuk rakyat dengan pakej lebih murah dan sebagainya,” katanya.

Mohammad juga berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menteri Kabinet dan pegawai kerajaan kerana menyaksikan siaran langsung pelancaran MEASAT-3d di Kuala Lumpur. - BERNAMA

Advertisement