
WASHINGTON: Presiden Joe Biden pada Rabu mengarahkan Agensi Pembangunan Antarabangsa Amerika Syarikat (USAID) dan agensi persekutuan lain membantu mangsa yang terjejas akibat gempa bumi di timur Afghanistan, lapor Agensi Anadolu.
Penasihat Keselamatan Negara, Jake Sullivan berkata Amerika Syarikat (AS) "sangat berduka cita menyaksikan gempa bumi dahsyat" yang mengorbankan lebih 1,000 rakyat.
"Presiden Biden sedang memantau situasi terkini dan telah mengarahkan USAID dan kerajaan persekutuan lain untuk menilai tindak balas AS bagi menyalurkan bantuan kepada mangsa yang terjejas teruk.
"Kami komited untuk meneruskan sokongan terhadap keperluan rakyat Afghanistan, dan kami akan sentiasa bersama mereka semasa dan selepas tragedi dahsyat ini," katanya.
Hampir 1,600 lagi cedera apabila gempa bumi melanda wilayah Paktika, menurut pihak berkuasa.
Angka kematian dikhuatiri terus meningkat.
Paktika dan Khost merupakan wilayah paling teruk terjejas, susulan ratusan kediaman musnah akibat gempa bumi berukuran 6.1 pada skala Richter melanda kawasan itu malam Selasa. - BERNAMA