Anda di sini

KK-Acapulco miliki persamaan potensi untuk diteroka

Advertisement
 Hajiji (tengah) menerima cenderahati berbentuk kraftangan Mexico daripada Edmundo (kiri) sambil diperhatikan Safar (kanan) semasa kunjungan itu.
CENDERAHATI: Hajiji (tengah) menerima cenderahati berbentuk kraftangan Mexico daripada Edmundo (kiri) sambil diperhatikan Safar (kanan) semasa kunjungan itu.

KOTA KINABALU: Duta Mexico ke Malaysia Edmundo Font mencadangkan kemungkinan untuk menjadikan Kota Kinabalu dan Acapulco sebagai bandar bersaudara yang akan membantu membina hubungan perdagangan antara Sabah dan Mexico.

Beliau mengemukakan cadangan berkenaan semasa mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor di Menara Kinabalu di sini hari ini.

Menurutnya, kedua-dua bandar berkenaan memiliki persamaan dari segi landskap yang wajar untuk diteroka.

Katanya, Acapulco adalah salah satu destinasi pelancongan pantai yang tertua di Mexico iaitu sebuah bandar pelabuhan laut yang terletak di Pantai Pasifik Mexico.

Lawatan Edmundo ke Sabah adalah yang pertama sejak dilantik sebagai duta pada November tahun lepas sekali gus melihat potensi perniagaan dan perdagangan di antara Sabah dengan Mexico.

Dalam pada itu, Hajiji berkata, kerajaan negeri mengalu-alukan pelabur termasuk dari Mexico untuk datang dan mewujudkan perniagaan di negeri ini.

Pada masa ini, Mexico ialah rakan dagangan kedua terbesar Malaysia di Amerika Latin selepas Brazil dengan jumlah dagangan sebanyak RM5.95 bilion pada 2021.

Jumlah eksport Malaysia terutamanya minyak sawit dan produk pertanian berasaskan minyak sawit serta getah asli ke Mexico pada 2021 ialah RM5.03 bilion.

Jumlah import dalam tempoh yang sama ialah RM920 juta yang terdiri daripada produk elektrik dan elektronik, bijih logam dan sekerap logam.

Hajiji dimaklumkan seorang saintis Mexico Dr. Milena Salgado Lynn turut menyumbang kepada kajian di Pusat Lapangan Danau Girang dan Makmal Kesihatan, Genetik dan Forensik Hidupan Liar di Jabatan Hidupan Liar Sabah.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Panglima Safar Untong; Pengarah Unit Perancang Ekonomi Sabah Jasmine Teo dan Ketua Pegawai Eksekutif Invest Sabah Datuk Madiyem Layapan.
 

  • oleh
  • Advertisement