Anda di sini

Kempunan lanjut pengajian gara-gara status kewarganegaraan

Advertisement

LIMBANG: Pelajar cemerlang Nicole Marsia Mohamad Peri yang memperoleh keputusan 6A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 lepas kini tertekan kerana tidak dapat menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi ekoran status kewarganegaraannya.

Nicole Marsia memperoleh A dalam subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Sains, Geografi dan Perniagaan, selain cemerlang subjek lain pada SPM yang diumumkan 16 Jun lalu.

Bagaimanapun impian pelajar pintar ini untuk menyambung pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT) yang dibuka secara dalam talian hujung bulan ini lebur susulan ketiadaan kad pengenalan (MyKad).

"Hati ibu bapa mana yang tidak retak, hancur melihat masa depan anak kami yang masih terumbang-ambing. Anak kami yang mendapat 6A dalam SPM baru-baru ini sepatutnya menyambung pengajian demi mengejar cita-citanya dalam bidang pelancongan namun ketiadaan dokumen penting itu menghancurkan impiannya.

"Kami sudah buntu, pelbagai cara sudah dilakukan namun hasrat untuk mendapatkan status warganegara bagi anak kami masih kelam," kata ayah Nicole Marsia, Muhamad Peri Lusong kepada Utusan Borneo di sini, hari ini.

Muhammad Peri di samping anaknya Nicole Marsia menunjukkan salinan pencapaian cemerlang dalam persekolahannya.
Muhammad Peri di samping anaknya Nicole Marsia menunjukkan salinan pencapaian cemerlang dalam persekolahannya.

Jelas Muhamad Peri yang berbangsa Lun Bawang, anaknya kini mengalami tekanan emosi dan kerap termenung dan bersendirian.

"Adakalanya dia sedih dan bercakap sendiri ekoran kesukaran untuk meneruskan pengajian atas faktor kewarganegaraannya," dedahnya.

Katanya lagi, beliau ada menghubung pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) ibu pejabat Kuching kelmarin bertanyakan perkembangan permohonan pertukaran status 'bukan warganegara’ kepada warganegara pada surat beranak anaknya itu.

"Mereka (JPN) Bahagian Warganegara Kuching memaklumkan pertukaran status pada surat beranak anaknya sudah selesai dan hanya menunggu keputusan daripada pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Putrajaya untuk mendapatkan status warganegara.

"Saya juga bertanya kepada pihak JPN Kuching kenapa terlalu lama masa diambil hanya untuk pertukaran status kepada warganegara dan mereka memaklumkan KDN perlu melakukan penyiasatan terlebih dahulu.

"Menjadi persoalan saya sebagai rakyat biasa, kenapa perlu melakukan penyiasatan yang agak lama kerana saya adalah warganegara Malaysia dan penduduk tempatan di sini," jelasnya.

Untuk rekod Muhamad Peri dan isterinya yang berbangsa Filipina berkahwin pada 2003 dan mempunyai surat kahwin sah mengikut adat istiadat Lun Bawang sebelum beliau memeluk Islam.

"Sejak anak saya dilahirkan pada 2004, saya menjadi penjamin kepada pasport isteri saya yang dicop setiap bulan dan mengambil keputusan memeluk Islam pada 2017 bagi memudahkan surat daftar nikah kami dibuat dan mendaftarkan surat beranak anak kami," katanya.

Muhamad Peri menjelaskan, beliau dan isteri sudah berurusan dengan KDN di Putrajaya dan JPN di Kuching sejak 2019.

Sebelum ini mereka pernah menerima maklum balas daripada KDN di Putrajaya melalui surat yang dihantar pada September 2020 yang memintanya menukar surat beranak anak mereka dengan memasukkan nama ayahnya.

"Surat beranak pertama yang dikeluarkan pada 2004 untuk anak saya tertera bukan warganegara meskipun kami mempunyai surat kahwin sah mengikut adat istiadat Lun Bawang," katanya.

Menurutnya, anaknya kemudian mempunyai surat beranak pada tahun lepas tetapi tertera bukan warganegara.

Katanya lagi, semua dokumen yang diminta pihak KDN di Putrajaya sudah dihantar tahun lepas ke Putrajaya bagi urusan penghantaran semua dokumen mendapatkan kad pengenalan anak mereka.

Namun katanya, amat menyedihkan sehingga sekarang dia dan isteri belum menerima sebarang maklum balas dan jawapan meskipun semua dokumen sudah dihantar seperti yang diminta pihak terbabit.

Jelasnya lagi, Nicole Marsia bakal berusia 18 tahun Ogos ini dan impian untuk memiliki kad pengenalan akan menjadi lebih sukar bagi rakyat Malaysia yang sudah mencecah umur 18 tahun ke atas.

Jelas Muhamad Peri, urusan persekolahan anaknya sehingga menduduki SPM pada masa ini adalah berdasarkan surat pengesahan yang dibuat mereka kepada pihak sekolah.

Beliau merayu kepada kerajaan negeri dan wakil rakyat agar campur tangan sekali gus membantu mempercepatkan proses permohonan kewarganegaraan anaknya.

"Kami berharap Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah dapat membantu mempercepatkan urusan permohonan anak kami.

"Ini sejajar dengan penambahbaikan pemberian kewarganegaraan khususnya di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan yang membolehkan proses kelulusan terutama membabitkan status kewarganegaraan dipercepatkan di bawah tempoh setahun," katanya.

Hanya Sarawak diberi kelulusan bagi menubuhkan Jawatankuasa Khas yang telah diaktifkan untuk menentukan kewarganegaraan seperti yang termaktub dalam perkara 15(A) untuk dilaksanakan memandangkan ia merupakan antara isu utama yang dihadapi segelintir masyarakat di Sarawak.

  • oleh
  • Advertisement