Anda di sini

Indeks Pelopor reda kepada negatif 0.5 peratus pada April, jangka pemulihan ekonomi lebih baik

Advertisement
KUALA LUMPUR: Hala tuju trend pemulihan ekonomi Malaysia bertambah baik apabila prestasi Indeks Pelopor (IP) bagi April 2022 mereda kepada negatif 0.5 peratus, mencatatkan pertumbuhan negatif yang lebih baik berbanding dengan negatif 1.4 peratus pada Mac 2022, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

IP merupakan alat yang digunakan untuk menjangkakan kenaikan dan penurunan ekonomi dalam purata empat hingga enam bulan ke hadapan.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata penurunan dalam IP dipengaruhi terutama oleh kemerosotan bilangan unit kediaman yang diluluskan pembinaan disebabkan penurunan permohonan daripada pemaju pada bulan tersebut.

“Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, IP menyusut kepada negatif 0.5 peratus disebabkan oleh bilangan unit kediaman yang diluluskan pembinaan (-1.4 peratus), bilangan syarikat baru didaftar (-0.5 peratus) dan Indeks Perusahaan Bursa Malaysia (-0.3 peratus),” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Ia bagi mengulas Penunjuk Ekonomi Malaysia Indeks Pelopor, Serentak dan Susulan April 2022 yang dikeluarkan DOSM.

Menurut DOSM, walaupun IP perlahan pada bulan rujukan, hala tuju yang ditunjukkan oleh IP terlicin kekal menggalakkan dengan konsisten melebihi arah aliran jangka panjang dan mencatatkan mata indeks yang lebih baik.

“Ini menunjukkan bahawa hala tuju trend pemulihan ekonomi Malaysia bertambah baik namun begitu, isu inflasi dan kenaikan harga komoditi perlu diberi perhatian dengan mengambil kira situasi global,” tambah jabatan itu.

Sementara itu, Indeks Serentak (IS) yang mengukur prestasi ekonomi semasa secara keseluruhan semakin meningkat sejak Februari 2022, mencerminkan peningkatan dalam aktiviti ekonomi dengan pengoperasian lebih banyak aktiviti ekonomi dan sosial pada kapasiti penuh.

DOSM menambah, IS terus meningkat sebanyak 5.3 peratus tahun ke tahun untuk mencapai 120.3 mata pada April 2022.

Berasaskan bulanan, pertumbuhan IS meningkat kepada 2.0 peratus pada bulan rujukan berbanding dengan 1.4 peratus pada bulan sebelumnya dan ini didorong oleh peningkatan ketara dalam Indeks Kuantiti Perdagangan Runcit (1.6 peratus).

“Berhubung dengan tempoh rujukan bagi kitaran perniagaan di Malaysia, IS mengesan kemelesetan akibat pandemik COVID-19 bermula pada Februari 2020 dan berakhir pada Julai 2021,” jelasnya. - BERNAMA

Advertisement