Anda di sini

DBP Cawangan Sarawak usahakan pemuliharaan khazanah sastera peribumi Sarawak

Advertisement
 

KUCHING: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak sedang mengusahakan langkah pemuliharaan khazanah bangsa terutama khazanah sastera peribumi negeri Sarawak. 

Pengarahnya Abang Haliman Abang Julai berkata, bagi tujuan itu sebanyak 951 judul cerita rakyat pelbagai kaum kini tersimpan dalam Koleksi Borneo dalam bentuk kaset sedang diusahakan untuk ditukar menjadi digital dalam format MP3. 

DBP Cawangan Sarawak katanya, turut menerbitkan beberapa buku sastera lisan pelbagai kaum hasil daripada Peraduan Menulis Cerita Rakyat dan hasil kajian lapangan di beberapa tempat di sekitar Sarawak. 

Selain itu, DBP Cawangan Sarawak juga terlibat secara langsung dengan penerbitann Buku Teks Bahasa Iban untuk kegunaan pelajar sekolah rendah dan menengah di negeri ini. 

“Kini kami juga sedang giat mengusahakan pembinaan enam manuskrip berkaitan kearifan tempatan di negeri Sarawak. 

“Manuskrip ini merupakan hasil kajian pakar-pakar bidang yang telah dilantik oleh DBP Cawangan Sarawak,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Wacana 45 Tahun DBP Cawangan Sarawak sempena Ulang Tahun Ke-45 DBP Cawangan Sarawak di sini, semalam. 

Program wacana tersebut dihadiri dan dirasmikan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali. 

Tambah Abang Haliman, bagi mewujudkan lebih banyak lagi ruang dan peluang kepada penulis negeri ini untuk terus berkarya, DBP Cawangan Sarawak turut menjalin kerjasama erat dengan akhbar bahasa Melayu tempatan seperti Utusan Borneo dan dua lagi akhbar lain. 

Penyediaan ruangan penulisan khas secara percuma di ruangan akhbar ini amat bermakna kepada pihak DBP Cawangan Sarawak bagi melahirkan lebih ramai penulus di negeri ini. 

DBP katanya, juga tidak ketinggalan dalam memanfaatkan prasarana alam maya untuk kemudahan masyarakat. 

Laman sesawang DBP misalnya, telah dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya oleh masyarakat untuk mendapat maklumat dan menyampaikan maklumat secara cepat dan berkesan. 

“DBP juga telah membina satu Gerbang Borneo dikenali sebagai portal e-Borneo yang merupakan gedung khazanah bangsa yang mengumpulkan nilai-nilai bahan kearifan tempatan Borneo yang meliputi pelbagai bidang. 

“Selain itu, DBP juga mengorak langkah memperkasakan serta meremajakan fungsi dan peranannya agar lebih mesra dan dekat dengan semua lapisan masyarakat,” katanya. 

Terdahulu berlangsungnya sesi wacana iaitu perkongsian ilmu oleh tokoh sasterawan mengenai fasa-fasa perkembangan sastera selama 45 tahun DBP di Sarawak. 

Wacana tersebut menampilkan tiga ahli panel iaitu Dr Abang Patdeli Abang Muhi, Hamzah Hamdani dan Zainal Abidin Suhaili yang merupakan Sasterawan Negeri Sarawak Kelima serta Dayang Azizah Mohd Salleh selaku moderator. 

Advertisement