Anda di sini

Cederakan anggota polis guna tin bir, juruteknik didenda

Advertisement
 

KUCHING: Seorang juruteknik lelaki didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana mencederakan seorang anggota polis menggunakan satu tin bir pada minggu lalu.

Majistret Zubaidah Sharkawi juga menetapkan Abdul Karim Abdullah, 32, untuk dipenjara sebulan sekiranya gagal membayar denda. 

Lelaki beralamat di Taman Sukma, Jalan Sultan Tengah itu mengaku bersalah sebaik didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan. 

Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga setahun atau boleh didenda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali. 

Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja mencederakan seorang anggota polis berpangkat koperal berusia 37 tahun pada 19 Jun lalu, sekitar jam 6 petang di Balai Polis Santubong di sini. 

Berdasarkan keterangan kes, mangsa bersama beberapa anggota polis lain sedang menjalankan tugas ronda cegah jenayah semasa Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) sebelum menahan tertuduh yang membuat kacau di kawasan tersebut. 

Tertuduh seterusnya dibawa ke Balai Polis Santubong untuk dokumentasi.

Bagaimanapun, setibanya mereka di balai polis, tertuduh tiba-tiba keluar dari kereta dan bertindak agresif serta menyerang mangsa dengan cara menghentak bahagian pipi kiri mangsa menggunakan satu tin bir. 

Akibat kejadian itu, mangsa mengalami sakit dan lebam di bahagian mata sebelah kiri.

Difahamkan, tertuduh berada di bawah pengaruh alkohol semasa kejadian berlaku.

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Advertisement