Anda di sini

Bintulu sedia hadapi gelombang kedua pembangunan

Advertisement

Kestabilan memudahkan pelaksanaan pembangunan terutama Pelan Tindakan PCDS 2030 

Majang (tengah) dan Marry (tiga kanan) menyerahkan projek RTP kemudahan laluan pejalan kaki berbumbung di SK Kidurong kepada Sintan sambil disaksikan (dari kanan) Abdul Aziz, Zaidi dan tetamu lainnya.
Majang (tengah) dan Marry (tiga kanan) menyerahkan projek RTP kemudahan laluan pejalan kaki berbumbung di SK Kidurong kepada Sintan sambil disaksikan (dari kanan) Abdul Aziz, Zaidi dan tetamu lain.

"Ada yang masih dalam rundingan atau perancangan akan dibangunkan di Zon Perindustrian Kidurong dan Taman Perindustrian Samalaju membabitkan pembinaan Loji Sarawak Methanol Petchem dengan nilai pelaburan RM3.7 bilion dijangka beroperasi pada 2024."

Dato Majang Renggi
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan 

Oleh Abang Ismail Abang Su'ud

BINTULU: Kedudukan Sarawak yang stabil dan kukuh memudahkan Kerajaan Sarawak melaksanakan pelbagai rancangan pembangunan dengan lebih berkesan terutama Pelan Tindakan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 ke arah menjadikan Sarawak wilayah maju menjelang 2030.

Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Dato Majang Renggi berkata, seiring dengannya Bintulu akan mengalami pembangunan pesat kedua selepas gelombang pertama 1970-an dan awal 1980-an.

Katanya, beberapa projek dilaksanakan pada masa itu merangkumi pembinaan loji gas cecair asli MLNG Satu dan Dua, pelabuhan, lembaga bekalan air, jambatan dan kini projek berskala besar dan sederhana yang dalam pembinaan.

"Ada yang masih dalam rundingan atau perancangan akan dibangunkan di Zon Perindustrian Kidurong dan Taman Perindustrian Samalaju membabitkan pembinaan Loji Sarawak Methanol Petchem dengan nilai pelaburan RM3.7 bilion dijangka beroperasi pada 2024," ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Sambutan Hari Guru, Silang Budaya (Hari Gawai dan Hari Raya) dan Upacara Penyerahan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) di Sekolah Kebangsaan (SK) Kidurong di sini, hari ini.

Selain itu Majang berkata, hab perubatan Sarawak dengan nilai pelaburan RM1 bilion dan kini dalam pembinaan untuk fasa satunya berkos RM200 juta, loji hidrogen Sarawak dengan nilai pelaburan RM24 bilion dijangka dibina pada 2023, Malaysia Phosphate Additives Sarawak Sdn Bhd juga dalam pembinaan dijangka beroperasi suku ketiga 2022.

Katanya, loji keluli Wenan dengan nilai pelaburan RM13.8 bilion merupakan kilang besi dan keluli terbesar di Asia Tenggara dan yang pertama di Sarawak juga sedang dalam penyediaan tapak dan syarikat atau kilang sedia ada turut merancang untuk memperkembangkan atau menaik taraf kilang mereka.

Jelasnya, ia bagi meningkatkan kapasiti dan pengeluaran produk mereka, dengan perancangan untuk membina loji baharu berasaskan minyak dan gas serta membina paip gas dari Tanjung Kidurong menuju ke Taman Perindustrian Samalaju turut dilakukan.

"Pembangunan pesat yang berlaku di Bintulu khususnya di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Samalaju itu telah dan akan mewujudkan banyak peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang untuk anak Sarawak," kata Majang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samalaju.

Justeru katanya, beliau meletakkan harapan tinggi kepada warga pendidik untuk terus berganding bahu dengan ibu bapa dalam usaha menyuntik kebolehan anak-anak bagi memastikan kecemerlangan mereka dalam bidang akademik.

"Saya percaya dengan latihan dan akademik yang cukup membolehkan kita semua seiring dan berupaya membangun bersama," katanya sambil mengucapkan tahniah kepada SK Kidurong yang kini mempunyai kemudahan laluan pejalan kaki berbumbung yang dibina di bawah projek RTP dengan kos RM180,000.

Beliau berharap kemudahan tersebut dapat memberi manfaat dan keselesaan kepada warga sekolah ketika hujan dan panas sekali gus menyatakan kerajaan akan terus komited untuk menyediakan prasarana lebih moden dan kondusif seiring dengan tuntutan dan keperluan pendidikan alaf baharu.

Hadir sama ialah Guru Besar SK Kidurong Sintan Lugat, Penolong Pegawai (Sektor Perancangan) Pejabat Pendidikan Daerah Bintulu Yusup Harbi, Pengerusi Majlis Guru Besar Bintulu Togang Sedin, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Kidurong Wan Mohammad Zaidi Wan Kadir, Penolong Jurutera (Awam) Jabatan Kerja Raya (JKR) Bintulu Marry Gorrety Buring Kajan.

Penolong Kanan Pentadbiran Abdul Aziz Dahlan, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Liza Man, Penolong Kanan Kokurikulum James Duyun dan Penyelia Petang Mordiana Mohammed juga hadir.

Advertisement