Anda di sini

Arthur dan pelajar Sabah, Sarawak raikan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai di London anjuran CIDB Malaysia

Advertisement
 Arthur dan rombongan merakamkan gambar kenangan bersama sebahagian pelajar Sabah dan Sarawak yang turut sama meraikan sambutan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai di Malaysia Hall, London.
ALBUM: Arthur dan rombongan merakamkan gambar kenangan bersama sebahagian pelajar Sabah dan Sarawak yang turut sama meraikan sambutan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai di Malaysia Hall, London.



LONDON: Seramai 50 orang pelajar Sabah dan Sarawak telah menghadiri sambutan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai yang dianjurkan oleh Kementerian Kerja Raya melalui agensinya Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia bertempat di Malaysia Hall, London.


Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata majlis itu merupakan kesempatan yang terbaik untuk mengeratkan lagi semangat perpaduan dan kekitaan serta mewujudkan perasaan kasih sayang dan muhibah sebagai sebuah 'Keluarga Malaysia' walaupun berada di luar negara.

 
"Kerajaan dibawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob amat memberi penekanan kepada Sabah dan Sarawak. Ini dapat dilihat apabila Kerajaan telah membuat pindaan kepada Perlembagaan Negara dengan meletakkan Sabah dan Sarawak setaraf dengan Semenanjung.

 
"Selain itu, komitmen Kerajaan untuk menyiapkan baki 19 pakej Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah dalam tempoh lima tahun jelas menunjukkan bahawa Kerajaan amat memberi penekanan kepada aspek pembangunan infrastruktur bagi merapatkan jurang perbezaan antara Sabah, Sarawak dengan Semenanjung.

 
"Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah dan Sarawak sepanjang lebih dari 1,500 kilometer (km) akan melengkapkan jajaran perhubungan yang baik dan efisyen. Ini selari dengan pembangunan yang pesat susulan pemindahan ibu negara Indonesia di Kalimantan, " katanya.

 
Mengulas mengenai kerjasama CIDB Malaysia bersama Chartered Institute of Building (CIOB) United Kingdom (UK), Arthur memberitahu misi lawatan kerja ke UK itu adalah bagi meninjau jalinan kerjasama kompetensi, persijilan dan pengiktirafan professional pembinaan melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman antara CIDB Malaysia dan CIOB, UK.

 
Tambahnya lagi, persefahaman ini penting bagi membolehkan para pelajar yang bakal bergelar professional pembinaan negara seperti jurutera, arkitek dan juru ukur bahan bukan sahaja memiliki kompetensi yang tinggi malah turut diiktiraf di luar negara.

 
Justeru beliau turut mengajak Profesional Muda Malaysia yang berada di luar negara untuk pulang dan turut sama menyumbang kepada pembangunan negara khususnya di Sabah dan Sarawak yang amat memerlukan kepakaran anak tempatan kerana mereka faham dengan kehendak serta keperluan setempat.

 
Turut hadir dalam majlis itu Pengerusi CIDB, Ir. Haji Yusof Haji Abd Wahab; Ketua Pegawai Eksekutif CIDB, Datuk Ir. Ahmad Asri Abdul Hamid dan Pengarah Pendidikan Malaysia London, Prof Madya Dr Shafie Mohamed Zabri.


 

  • oleh
  • Advertisement