Anda di sini

20 bekas pelajar MRSM mengaku bersalah cederakan rakan sekolah

Advertisement
 

SUNGAI PETANI: Seramai 20 bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Merbok (MRSM) dekat sini mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencederakan seorang rakan sekolah mereka pada Oktober 2020.

Kesemua pelajar berumur antara 18 dan 19 tahun itu membuat pengakuan berkenaan di hadapan Majistret Nadhirah Abdul Rahim selepas pertuduhan itu dibacakan terhadap mereka.

Bagaimanapun, mahkamah menunggu laporan akhlak yang akan diserahkan pada 10 Ogos nanti sebelum menjatuhkan hukuman terhadap mereka.

Mengikut pertuduhan, kesemua pelajar yang ketika itu berumur antara 16 dan 17 tahun dituduh dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas mangsa berusia 16 tahun di kawasan asrama sekolah berkenaan antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada 27 Okt 2020.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama iaitu memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

Mahkamah membenarkan kesemua pelajar itu masing-masing diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S.Preeya manakala kesemua tertuduh diwakili Peguam Nurliyana Mohd Radzi. - BERNAMA 

Advertisement