Anda di sini

133 pegawai Imigresen terima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang

Advertisement
 Jonathan menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang penerima pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2021 JIM.
CEMERLANG: Jonathan menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang penerima pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2021 JIM.

KOTA KINABALU: 133 pegawai dan anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dan Labuan menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APM) selepas menunjukkan prestasi cemerlang dalam penugasan sepanjang tahun lalu.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Jonathan Yasin berkata kerajaan sentiasa komited dalam memastikan elemen budaya kerja cemerlang dijadikan paksi utama dalam pelaksanaan tugas khususnya berkaitan sistem penyampaian kerajaan dalam kalangan penjawat awam.

“Diharapkan penganugerahan ini dapat memberikan lagi suntikan semangat dan motivasi kepada mereka yang terlibat dan pegawai serta anggota Imigresen lainnya secara keseluruhan.

“Penganugerahan ini perlu menjadi tanda aras utama untuk semua agar terus memberi perkhidmatan yang berkualiti tinggi dan berintegriti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2021 JIM yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini semalam.

Jonathan berkata menjadi kewajiban semua penjawat awam untuk sentiasa bekerja keras dan berusaha mempertingkatkan lagi daya produktiviti serta kecekapan kerja.

Katanya, ia juga diharap akan sentiasa dapat memberi impak kepada nilai tambah keyakinan rakyat kepada perkhidmatan kerajaan.

“Ini sekali gus boleh menjadikan perkhidmatan Imigresen untuk terus menjadi perkhidmatan yang sentiasa menepati kehendak dan ekspektasi pelanggan jabatan.

“Pengiktirafan ini juga sebenarnya secara tidak langsung mewujudkan persaingan yang sihat dalam kalangan semua pegawai dan kakitangan Imigresen untuk membuktikan keupayaan organisasi bagi menghasilkan perkhidmatan yang terbaik dan disegani,” katanya.

Sementara itu, Jonathan turut mengucapkan tahniah atas kejayaan merealisasikan Aspirasi Keluarga Malaysia Kementerian Dalam Negeri (AKM KDN) 2022 dengan pengenalan operasi Perkhidmatan Pengeluaran Dokumen Imigresen dan Pendaftaran di kawasan pedalaman yang dicapai JIM Negeri Sabah.

Katanya, perkhidmatan itu menawarkan perkhidmatan pengeluaran Pasport Menyeberang Sempadan (PMS) di Pos Kawalan Imigresen Pagalungan, di daerah kecil Pagalungan.

“Perluasan perkhidmatan ini membantu rakyat Sabah yang tinggal di kawasan pedalaman khususnya di sempadan negara dari segi penjimatan kos dan masa perjalanan orang awam yang berurusan, selain memudahkan urusan untuk mendapatkan perkhidmatan Imigresen l,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement