Anda di sini

Protes antikerajaan semakin meruncing di Ecuador 

Advertisement

Tatkala ratusan penduduk peribumi dan anggota kumpulan lain terus bantah kenaikan harga minyak

Ratusan penduduk peribumi berarak ketika membantah kenaikan harga minyak di Maldonado Avenue di selatan Quito, kelmarin. — Gambar AFP
Ratusan penduduk peribumi berarak ketika membantah kenaikan harga minyak di Maldonado Avenue di selatan Quito, kelmarin. — Gambar AFP

QUITO: Ratusan penduduk peribumi dan anggota kumpulan lain yang tidak berpuas hati mengambil bahagian dalam hari kelapan protes terhadap kenaikan harga minyak di Ecuador kelmarin, dituduh oleh presiden sebagai cuba untuk mencetuskan “huru-hara”.

Perintah darurat telah dilanjutkan untuk meliputi enam wilayah, dengan perintah berkurung waktu malam di ibu negeri Quito, ketika pihak berkuasa cuba untuk membendung tunjuk perasaan yang menyaksikan jalan raya disekat di seluruh negara, menyebabkan kerugian ekonomi puluhan juta dolar serta beberapa orang tercedera.

Konfederasi Kewarganegaraan Orang Asli Ecuador (CONAIE) yang berkuasa – dipuji kerana membantu menggulingkan tiga presiden antara 1997 dan 2005 – menggesa protes ketika rakyat Ecuador semakin sukar untuk memenuhi keperluan hidup.

Penduduk peribumi membentuk lebih sejuta orang daripada 17.7 juta rakyat Ecuador, dan bantahan mereka sejak itu disertai oleh pelajar, pekerja dan pihak lain yang turut merasai kesan kemelesetan ekonomi.

“Kami telah bertindak, kami meminta bagi dialog, namun mereka tidak mahu kedamaian,” kata Presiden Guillermo Lasso dalam rakaman video di Twitter kelmarin.

“Mereka mahukan huru-hara, mereka ingin menjatuhkan presiden.”

Polis berkata, 63 anggotanya tercedera dalam perbalahan dan 21 lagi dijadikan tebusan sekejap sejak bantahan bermula, sementara pemerhati hak asasi manusia melaporkan 79 tangkapan dan 55 orang awam tercedera.

Perintah darurat yang diumumkan pada Jumaat lepas membolehkan Lasso untuk mengerahkan pasukan bersenjata bagi mengawal keadaan, menangguhkan hak sivil tertentu dan mengumumkan perintah berkurung.

Pada Ahad lepas, polis Ecuador mengambil sebuah pusat budaya peribumi di Quito untuk digunakan sebagai pangkalan bagi mengawasi bantahan.

Pusat tersebut telah melindungi ribuan penduduk peribumi ketika tunjuk perasaan antikerajaan pada 2019 yang menyebabkan 11 orang terkorban dan lebih 1,000 tercedera namun memaksa presiden ketika itu Lenin Moreno untuk menangguhkan rancangan bagi menghapuskan subsidi minyak.

Pengeluar minyak Ecuador telah dijejaskan oleh inflasi yang meningkat, pengangguran dan kemiskinan berpunca daripada pandemik COVID-19.

Harga minyak telah meningkat secara mendadak sejak 2020, hampir dua kali ganda untuk diesel daripada AS$1 kepada AS$1.90 segelen dan bertambah AS$1.75 kepada AS$2.55 untuk gasolin.

CONAIE menuntut pengurangan harga kepada AS$1.50 segelen bagi diesel dan $2.10 untuk gasolin.

Ia juga mahukan kawalan harga makanan dan komitmen bagi membincangkan semula pinjaman peribadi bank oleh kira-kira empat juta keluarga. — AFP

Advertisement