Anda di sini

Pekerja maut, gagal hantar laporan kemalangan maut, tiga syarikat didenda RM30,000

Advertisement
 

SIBU: Mahkamah Sesyen Kapit semalam menjatuhkan hukuman denda RM30,000 ke atas tiga syarikat susulan pensabitan bagi dua pertuduhan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) 1994.


Bagi pertuduhan pertama, ketiga-tiga syarikat didakwa gagal mengadakan sistem kerja selamat kepada pekerja sehingga menyebabkan pekerja syarikat terbabit maut atau cedera.


Ketiga-tiga syarikat didakwa mengikut Seksyen 15(1) AKKP dan masing-masing dikenakan hukuman denda RM25,000.


Sabit kesalahan di bawah seksyen ini boleh dikenakan denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.


Bagi pertuduhan kedua, ketiga-tiga syarikat didakwa gagal menghantar laporan tentang kemalangan maut membabitkan pekerjanya kepada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (JKKP) dalam masa tujuh hari.


Untuk kesalahan ini, syarikat didakwa mengikut Peraturan 5(1)(a)(bb) Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2004 dan dijatuhi hukuman denda RM5,000.


Di bawah peraturan ini, mana-mana pihak yang melanggar peraturan boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.


Bagi kes pertama, sebuah syarikat pembalakan didakwa melakukan kesalahan itu pada 28 Julai 2019, kira-kira jam 5.40 petang di jeti syarikat di Nanga Amang, Batang Rejang, Kapit.


Dalam kejadian tersebut, seorang pengendali kren syarikat itu maut setelah kren yang dikendalinya terjatuh ke dalam sungai semasa sedang menjalankan kerja-kerja mengangkat kayu balak.


Kes kedua pula membabitkan sebuah syarikat yang berlaku di kem Ulu Gaat Mengiong, Kapit pada 29 Julai 2019, jam lebih kurang 2.30 petang.


Kejadian menyebabkan seorang pekerja maut akibat ditimpa kayu balak ketika sedang menjalankan kerja mengikat kayu balak.
Dalam kes ketiga, seorang pekerja kem warganegara Indonesia maut ketika sedang menebang pokok di sebuah kem Nanga Gaat, Putai pada 17 Julai 2019, kira-kira jam 11 pagi.

Advertisement