Anda di sini

Cederakan wanita guna pisau, buruh dipenjara lapan tahun, tiga sebatan

Advertisement
 

SIBU: Seorang buruh dijatuhi hukuman penjara lapan tahun berserta tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kapit atas pertuduhan mendatangkan kecederaan parah terhadap seorang wanita dengan bersenjatakan sebilah pisau.

Hakim Marutin Pagan yang mendengar pengakuan bersalah tertuduh, Daniel Sugai, 22, memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu berkuat kuasa dari tarikh pensabitan kesalahan.

Daniel didakwa mendatangkan kecederaan parah terhadap mangsa berusia 30 tahun itu dengan bersenjatakan sebilah pisau pada 27 Mei 2022, kira-kira jam 2.15 pagi di kuarters sekolah rendah Nanga Selibut, Kapit.

Sehubungan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, pada 27 Mei 2022, lebih kurang jam 2.30 pagi, pengadu yang juga suami mangsa dimaklumkan bahawa isterinya cedera akibat ditikam di kediamannya di kuarters sekolah.

Pengadu yang masih menghadiri majlis bergegas pulang dan mendapati mangsa dalam keadaan pengsan di rumah jirannya sebelum membawa mangsa ke Klinik Kesihatan Daerah Song.

Bertindak atas laporan polis yang dibuat, pada hari sama kira-kira jam 7.30 pagi di sekolah sama, pihak polis telah menangkap seorang lelaki iaitu tertuduh.

Sisatan kemudian mendapati pada hari kejadian, tertuduh telah melakukan pencerobohan dengan memasuki kediaman mangsa melalui pintu depan kerana hendak ke tandas dan mencari tempat tidur.

Sebaik membuka pintu bilik tidur, tertuduh mendapati mangsa sedang tidur seorang diri sebelum pergi ke dapur dan mengambil sebilah pisau.

Tertuduh kemudian kembali ke bilik tidur dan berbaring di sebelah kiri mangsa serta bertindak mencabul kehormatan dengan meraba payudara sebelah kanan dan mencium pipi kiri mangsa.

Mangsa terbangun dan menjerit meminta tolong sebelum berlaku pergelutan, di mana tertuduh telah bertindak menikam mangsa menggunakan pisau.

Akibat ditikam, mangsa cedera pada bahagian hidung, bahu kiri dan kanan, lengan kanan, atas jari kelingking sebelah kanan dan beberapa calar pada lengan kanan.

Mangsa kemudian menerima rawatan di Klinik Kesihatan Daerah Song sebelum dirujuk ke Hospital Sibu.

Hasil siasatan juga mendapati mangsa mengenali tertuduh yang dikenali dengan nama panggilan adik Bejey.
     

Advertisement