Anda di sini

Projek 'sakit' di Sabah perlu perhatian serius: Hajiji

Advertisement
 Hajiji (tengah) ketika mempengerusikan mesyuarat MTPNg.
PENGERUSI: Hajiji (tengah) ketika mempengerusikan mesyuarat MTPNg.

KOTA KINABALU: Sebanyak 69 projek 'sakit' yang dilaporkan di negeri ini perlu diberi perhatian serius oleh semua agensi atau jabatan yang berkaitan.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, jika masalah berkenaan disebabkan oleh jabatan atau agensi kerajaan negeri, beliau meminta pihak berkaitan tidak melambat-lambatkan projek daripada kerajaan Persekutuan.

"Pihak berkenaan perlu memberi kerjasama yang sepatutnya kerana setiap projek seperti pembinaan sekolah atau hospital, semuanya adalah untuk rakyat.

"Jika pembayaran lambat, kita akan usahakan dan jika kontraktor yang bermasalah, tindakan perlu diambil.

"Saya juga minta kuasa diturunkan kepada pegawai Persekutuan di Sabah, jika ia membabitkan projek daripada Persekutuan," jelasnya.

Beliau menegaskan, tindakan berkenaan bagi mempercepatkan keputusan dibuat dan projek dapat disiapkan mengikut jadual.

Hajiji berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) Sabah Kali Kedua, di Menara Kinabalu di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau juga dimaklumkan bahawa Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) mengambil langkah proaktif dengan menganjurkan Makmal Sifar Projek Sakit pada 7 hingga 9 Jun lepas.

Katanya, Makmal Sifar Projek Sakit bertujuan mengenal pasti penambahbaikan dan inovasi bagi melancarkan pelaksanaan projek.

"Di samping itu, platform berkenaan juga digunakan untuk menentukan penyelesaian terhadap masalah atau isu pelaksanaan projek-projek pembangunan.

"Semasa makmal ini berlangsung, Jabatan Audit Negara membentangkan analisis penemuan keberkesanan pelaksanaan projek kerajaan dan salah satu projek yang berada dalam analisis penemuan audit adalah Projek Penaiktarafan Keretapi Negeri Sabah.

"Ini kerana kawasan pembinaan (landasan keretapi Halogilat ke Tenom) mempunyai isu topografi serta kejadian tanah runtuh, hakisan tebing sungai dan banjir," jelasnya.

Beliau berkata, isu-isu berkenaan tidak diambil kira semasa meluluskan peruntukan projek dan ini menunjukkan kelemahan perancangan projek.

Menurutnya, projek yang sepatutnya siap pada 2019 hanya mencapai peratus siap 99.5 peratus sehingga September 2021 setelah mengambil kira lima lima lanjutan tempoh masa (EOT) iaitu 748 hari.
 

  • oleh
  • Advertisement