Anda di sini

Penyelamat Greece selamatkan lebih 100 pendatang

Advertisement
Gambar serahan Pengawal Pantai Hellenic kelmarin menunjukkan para pendatang yang terselamat dipindahkan ke pulau Mykonos.— Gambar AFP
Gambar serahan Pengawal Pantai Hellenic kelmarin menunjukkan para pendatang yang terselamat dipindahkan ke pulau Mykonos.— Gambar AFP

ATHENS: Lebih 100 pendatang telah diselamatkan awal kelmarin di luar pulau Mykonos di Laut Aegia, manakala empat orang hilang, menurut pengawal pantai Greece. 

“Satu operasi menyelamat pendatang berskala besar sedang dijalankan sejak lewat Sabtu lepas dua batu di selatan pulau Delos.

“Setakat ini 108 pendatang telah diselamatkan, sementara menurut kepada mereka yang diselamatkan, empat orang masih hilang,” menurut kenyataan pengawal pantai.

Sejumlah 24 wanita dan 21 kanak-kanak antara yang telah diselamatkan, sementara tiga orang telah dibawa ke sebuah pusat kesihatan di Mykonos. 

Polis pelabuhan memberikan respons kepada panggilan kecemasan dengan menghantar tiga bot dan sebuah bot tunda bagi membantu kapal malang itu yang berasal dari Turki, pengawal pantai memberitahu AFP. 

Menurut kenyataan pengawal pantai, bot tunda menghampiri bot layar yang membawa pendatang namun tidak menariknya ke tempat selamat kerana ia berada dalam air dan terdapat angin kuat.

Pendatang pada mulanya dibawa ke pulau kecil berbatu berhampiran bot lain dan dihantar ke Mykonos awal kelmarin.

Usaha mencari dan menyelamatkan empat mangsa yang hilang itu masih diteruskan.

Menteri Migrasi Notis Mitarachi pada mulanya menghantar ciapan bahawa lapan pendatang telah hilang dan 104 telah diselamatkan.

Beliau menyeru kepada Turki agar melakukan lebih banyak cara bagi melindungi nyawa manusia dan membanteras rangkaian penyeludupan.

Pada Mei,  pihak berkuasa Greek menyatakan mereka telah menghalang kira-kira 600 pendatang daripada menyeberangi Laut Aegia dari negara jiran Turki dalam masa sehari, dalam cubaan kemasukan paling besar pada tahun ini.

Sumber kementerian migrasi menyatakan aliran migrasi ke pulau-pulau Greece pada empat bulan pertama tahun ini hampir 30 peratus lebih tinggi berbanding tempoh yang sama pada tahun lepas, petanda peningkatan ketara. — AFP

Advertisement