Anda di sini

Pengecualian bayaran sewa kantin, premis di sekolah dilanjutkan hingga hujung tahun

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Pengecualian sewaan kantin dan premis dalam sekolah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) dilanjutkan enam bulan lagi bermula 1 Julai sehingga 31 Dis, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

Beliau berkata pelanjutan itu dibuat selepas mengambil kira situasi ekonomi semasa serta memahami bahawa pengusaha kantin dan penyewa premis sedang dalam proses pemulihan daripada kesan pandemik COVID-19. 

“Tempoh dua tahun yang lalu merupakan satu tempoh yang amat sukar bagi pengusaha kantin dan juga penyewa premis di sekolah KPM.

“KPM yakin pelanjutan untuk tempoh enam bulan ini akan dapat membantu dan memberi manfaat kepada pengusaha kantin dan juga penyewa premis di sekolah KPM dan seterusnya memberi manfaat kepada warga sekolah,” katanya dalam video yang dimuat naik di Facebook beliau hari ini.  

Radzi turut berharap keputusan melanjutkan pengecualian itu dapat memberi kelegaan buat pengusaha kantin dan penyewa premis di sekolah bawah KPM.

Sebelum ini dilaporkan KPM memberi pengecualian sewaan kantin dan premis atau ruang perniagaan di bawah kementerian itu bagi tempoh enam bulan bermula Julai 2021 sebelum melanjutkan untuk tempoh enam bulan lagi sehingga bulan ini. - BERNAMA 

Advertisement