Anda di sini

Pekerja Palestin dibunuh di Tebing Barat

Advertisement
Anggota tentera rejim Israel kelmarin menggeledah sebuah kenderaan di sekatan ketenteraan di mana Ghanem ditembak mati di Qalqilya, Tebing Barat. — Gambar AFP
Anggota tentera rejim Israel kelmarin menggeledah sebuah kenderaan di sekatan ketenteraan di mana Ghanem ditembak mati di Qalqilya, Tebing Barat. — Gambar AFP

RAMALLAH: Seorang pekerja Palestin telah ditembak mati anggota tentera Israel kelmarin ketika melintasi sekatan ketenteraan di Tebing Barat yang ditakluki, menurut sumber Palestin.

Kementerian Kesihatan Palestin mengenal pasti lelaki yang dibunuh itu sebagai Nabil Ghanem, 53, dari bandar Nablus di Tebing Barat.

Agensi berita rasmi Palestin Wafa menyatakan Ghanem antara puluhan ribu penduduk Palestin di Tebing Barat yang sering kali mencari kerja di Tel Aviv. 

Jurucakap rejim Israel menyatakan pasukannya telah menembak seorang suspek yang merosakkan pagar keselamatan.

Gaji di ladang dan  tapak pembinaan Tel Aviv jauh lebih tinggi berbanding gaji yang dibayar kebanyakan majikan Palestin di Tebing Barat, wilayah yang ditawan rejim Israel sejak 1967. 

Kerja di  Tel Aviv sangat didambakan ramai penduduk Palestin di mana sebahagian daripada mereka mempunyai permit untuk bekerja manakala yang lain cuba untuk merentasi sempadan tanpa kebenaran.

Pembunuhan Ghanem berlaku ketika peningkatan dalam keganasan Israel-Palestin. 

Seramai 19 orang, kebanyakannya peneroka haram Yahudi, telah terkorban dalam serangan yang dilancarkan pihak Palestin sejak Mac lepas.

Tentera Israel kemudian melancarkan serbuan di kawasan jajahannya terutamanya di dalam dan sekitar Jenin.

Tiga penyerang Palestin dan seorang komando polis rejim telah terkorban.

Seramai 45 rakyat Palestin telah dibunuh di Tebing Barat hanya kerana disyaki sebagai militan, namun orang awam turut disasari termasuk seorang wartawan Al Jazeera  yang membuat liputan di Jenin.

Ketegangan memuncak lagi apabila tiga rakyat Palestin yang didakwa anggota puak bersenjata, dibunuh tentera Israel ketika serbuan di Jenin. — AFP

Advertisement