Anda di sini

MINDEF hasrat wujudkan kawasan tanaman di kem tentera, jamin sekuriti makanan

Advertisement
 

TAMPIN: Kementerian Pertahanan (MINDEF) berhasrat untuk mewujudkan kawasan tanaman di setiap kem angkatan tentera di seluruh negara bagi menjamin sekuriti makanan terutama untuk keperluan anggota.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata pada peringkat permulaan, Kem Syed Sirajuddin, Gemas di sini telah pun dijadikan projek rintis bagi tujuan berkenaan.

“Aktiviti bercucuk tanam itu dah ada pun. Saya dah tengok tadi...jadi dalam apa jua keadaan termasuk harga makanan melambung, kita ada kemampuan sendiri. Sekurang-kurangnya anggota boleh fokus kepada tanggungjawab mereka iaitu keselamatan dan pertahanan.

“Saya nak dapat laporan nanti dan sekiranya boleh diperluaskan untuk kesemua kem atau mungkin setiap zon,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan Latihan Kuasa Tembakan (LKT) 2022 ATM di sini hari ini.

Beliau berkata perbincangan mengenai perkara itu telah dibuat bersama Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Affendi Buang dan Panglima Tentera Darat Jen Datuk Zamrose Mohd Zain.

Semalam, Zamrose menerusi kenyataan di Facebook memaklumkan Ladang Integrasi Tentera Darat di Kem Syed Sirajudin dilaksanakan menerusi Program Kelestarian Makanan Tentera Darat bertujuan membantu meringankan kos sara hidup warganya melalui hasil pertanian.

Beliau berkata ia juga sebagai langkah awal dalam menangani permasalahan krisis makanan yang berkemungkinan dihadapi pada masa hadapan sekali gus memastikan kelestarian makanan terutama dalam kalangan anggota dan masyarakat sentiasa terjamin.

Sementara itu, mengenai LKT beliau berkata ia merupakan usaha MINDEF bagi memastikan ketiga-tiga cabang perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus dilengkapi aset yang diperlukan meskipun dalam era pascapandemik COVID-19.

“Selagi saya Menteri Pertahanan, kami akan buat apa sahaja bagi memastikan, moral mereka tinggi dan semangat mereka kuat dan Insya-Allah apa yang mampu kita lakukan dari apa juga aspek.

"Pengguna akhir (tentera) yang akan gunakan aset ini, wajar mereka ini menentukan jenis aset-aset yang diperlukan dan sekiranya kita mampu dalam konteks kewangan negara, Kementerian Pertahanan akan mempercepatkannya, itu adalah proses yang saya umumkan sebelum ini," katanya. - BERNAMA 

Advertisement