Anda di sini

MAFI akan bawa cadangan kembali subsidi minyak nelayan C2 ke peringkat kerajaan

Advertisement
 

ALOR SETAR: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan membawa cadangan yang disuarakan Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) untuk menimbang semula pemberian subsidi minyak kepada bot nelayan kelas C2  ke peringkat tinggi.

Menterinya Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata subsidi minyak kepada bot nelayan kelas C2 itu dihentikan pada 2019, dan hanya bot kelas A, B dan C yang masih menerima subsidi daripada kerajaan sehingga kini.

Beliau berkata pihak kementerian sedia maklum dengan permintaan kira-kira 500 pengusaha perikanan bot nelayan kelas C2 di negara ini supaya dikembalikan semula subsidi minyak kepada mereka.

“Cadangan itu telah diterima dan MAFI akan bawa ia untuk dibincangkan ke peringkat kerajaan yang akan melibatkan pelbagai kementerian dan agensi,” katanya ketika dirujuk mengenai cadangan pemberian semula subsidi minyak kepada pengusaha bot nelayan kelas C2.

Sebelum ini, Pengerusi Nekmat Hamid Bahari meminta kerajaan menimbang semula pemberian subsidi minyak kepada bot nelayan kelas C2 kerana golongan itu adalah penyumbang terbesar tangkapan ikan dalam negara berbanding bot kelas lebih kecil yang menerima keistimewaan itu.

Sementara itu Ronald berkata harga ikan yang dijual di negara ini bergantung kepada kuantiti semasa bekalan ikan yang diperoleh, dan kerana itu tiada kawalan harga ikan ditetapkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Harga ikan ini bergantung kepada jumlah bekalan. Kalau bekalan ikan kurang, harga jualan akan naik dan sekiranya bekalan banyak harga akan turun tetapi MAFI sentiasa memastikan bekalan ikan mencukupi selain memantau harga ikan yang dijual di pasaran.

Terdahulu beliau melawat kilang dan ladang ayam milik Bismi Empire Sdn Bhd (BISMI) dekat sini untuk meninjau operasi penternakan ayam selain mendapatkan maklumat secara langsung daripada pemain industri mengenai sebarang isu atau masalah berkaitan yang dihadapi. - BERNAMA 

Advertisement