Anda di sini

Bursa Malaysia kekal tinggi sehingga berakhirnya sesi dagangan pagi

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi lebih tinggi, sejajar dengan aliran menaik dalam pasaran serantau, didorong oleh permintaan berterusan membabitkan kaunter-kaunter teknologi, tenaga, penjagaan kesihatan dan pembinaan terpilih, kata seorang peniaga

Pada waktu rehat tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 8.02 mata kepada 1,449.26 daripada penutupan Isnin pada 1,441.24.

Indeks penanda aras utama yang dibuka 2.06 mata lebih tinggi pada 1,443.30, bergerak antara 1,443.26 dan 1,450.73 pada sepanjang sesi urus niaga pagi hingga tengah hari.

Di pasaran yang lebih luas menyaksikan kaunter untung mengatasi kaunter rugi 508 berbalas 296, manakala 350 kaunter tidak berubah, 1,121 tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung.

Jumlah dagangan adalah sebanyak 1.47 bilion unit bernilai RM807.90 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, saham teknologi dijangka meningkat semula selepas niaga hadapan Wall Street kembali positif pada ketika ini.

"Sementara itu, kami berpendapat saham amanah pelaburan hartanah (REIT) dan  pengguna yang kukuh akan lebih bersifat defensif dan memperoleh minat dagangan sekurang-kurangnya untuk jangka masa terdekat," katanya dalam nota hari ini.

Firma pembrokeran itu turut menyatakan saham di bursa tempatan telah terlebih jual dan telah tiba masanya untuk kemunculan kegiatan memburu saham berharga murah.

Di pasaran domestik, dalam kalangan saham wajaran tinggi, IHH Healthcare menokok sembilan sen kepada RM6.42, Hartalega menambah 10 sen menjadi RM2.92, Inari Amertron tidak berubah pada RM2.60, Dialog Group naik dua sen kepada RM2.05 manakala Maybank turun tiga sen kepada RM8.62 .

Bagi saham aktif, Dagang NeXchange mengukuh dua sen kepada 78.5 sen, MNC Wireless menokok setengah sen kepada dua sen, Top Glove naik 7.5 sen kepada RM1.06 manakala Yong Tai dan SFP Tech tidak berubah dengan masing-masing mencatatkan sebanyak sembilan sen dan 67 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas mengembang 67.89 mata kepada 10,330.13, Indeks FBM Emas Syariah mengukuh 90.37 mata kepada 10,495.41, Indeks FBM 70 melonjak 115.19 mata menjadi 12,479.06, FBM ACE lebih tinggi sebanyak 19.33 mata kepada 4,756.89 dan Indeks FBMT 100 peroleh 64.52 mata kepada 10,071.52.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meraih 22.68 mata kepada 16,067.67, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 1.91 mata kepada 185.39 manakala Indeks Perladangan susut 16.81 mata kepada 7,097.69. - BERNAMA 

Advertisement