Anda di sini

RWMF 2022 capai sasaran 12,000 pengunjung

Advertisement
Abdul Karim pada sidang media hari ketiga RWMF 2022, semalam. - Gambar oleh Roystein Emmor
Abdul Karim pada sidang media hari ketiga RWMF 2022, semalam. - Gambar oleh Roystein Emmor

KUCHING: Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) 2022 telah mencapai sasaran seramai 12,000 orang pengunjung kata Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Beliau turut meluahkan rasa puas hati dengan kehadiran pengunjung walaupun terdapat sekatan perjalanan dari beberapa buah negara dunia.

"Sebanyak 92 peratus daripada pengunjung adalah warga tempatan dan bakinya adalah lapan peratus merupakan warga asing, dengan sejumlah 41 negara terlibat dalam festival itu, secara fizikal.

“Pada hari pertama, kita mempunyai 2,000 pengunjung, hari kedua seramai 7,000 orang dan hari ini (Ahad) kita mendapat 3,000 lagi pengunjung.

“Saya tidak menjangkakan ini, tetapi yang mengejutkan saya adalah ramai yang datang ke Sarawak untuk menyertai festival kita," katanya pada sidang media hari terakhir RWMF 2022 di Kampung Budaya Sarawak, semalam.

Lima negara teratas yang menyertai festival secara fizikal adalah Malaysia, Singapura, United Kingdom, Indonesia dan Australia, tambahnya.

Ia diikuti Sepanyol, Belanda, Rusia, Jepun dan, Jerman, Perancis, Scotland, Brunei, Switzerland, Turki, Slovakia, Austria, Belgium, Itali, Sweden dan Portugal, Oman antara lain.

Manakala bagi tiket secara maya untuk festival tiga hari itu kebanyakannya dijual kepada negara seperti China, Australia, Amerika Syarikat dan Sweden.

Sebahagian daripada hasil jualan tiket RWMF 2022 akan digunakan dalam usaha memelihara dan memulihara hutan hujan di sini, tegas Abdul Karim.

Pihaknya menjalankan usaha tersebut menerusi projek penanaman 4,500 pokok di Pusat Hidupan Liar Matang dan Rizab Semulajadi Piasau.

Advertisement