Anda di sini

MTDC komited bantu PKS adaptasi pendigitalan, seiring kemajuan teknologi

Advertisement
Gambar hiasan Bernama
Gambar hiasan Bernama

ISKANDAR PUTERI: Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) sentiasa komited dalam membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) ke arah mengadaptasi pendigitalan, seiring dengan kemajuan teknologi masa kini.

Pengarah Bahagian Teknologi Teroka MTDC Mohammad Hazani Hassan berkata, terdapat pelbagai program yang dianjurkan seperti Road2Growth yang memberi fokus kepada peluang pembangunan teknologi dan perniagaan bagi membantu PKS.

Beliau berkata PKS yang terjejas, terutamanya semasa pandemik COVID-19 turut digalakkan untuk mengambil peluang bagi menyertai program sedemikian.

“Banyak kita tengok syarikat (dari aspek) yang dahulunya banyak menggunakan buruh, banyak proses secara manual, kita hendak menjangkau pasaran juga susah.

“Jadi, melalui digital, Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), kita boleh membangun (dengan teknologi), seperti Internet Pelbagai Benda (IoT), sensor untuk menambahkan produktiviti dalam pembuatan dan sesetengah program untuk menjangkau pasaran dengan lebih pantas,” katanya pada sidang media Program Road2Growth MTDC di sini hari ini. 

Beliau berkata Johor merupakan destinasi keempat penganjuran Program Road2Growth MTDC selepas Sabah, Sarawak dan Pulau Pinang.

 Mohammad Hazani berkata program tahunan itu memberi fokus kepada peluang pembangunan teknologi dan perniagaan melalui kerjasama dengan syarikat-syarikat teknologi ahli ekosistem MTDC dengan peserta yang terdiri daripada usahawan PKS, graduan, penyelidik dan syarikat pemula.

Beliau berkata peserta didedahkan dengan produk dan perkhidmatan oleh MTDC dan ahli ekosistemnya, serta berpeluang mendapatkan maklumat terperinci mengenai penyelesaian teknologi daripada syarikat yang terlibat dalam bidang robotik, automasi, pencetakan 3D, realiti berperantara dan teknologi dron.

“Peserta turut didedahkan dengan program perkongsian mengenai cara untuk mengadaptasikan penggunaan teknologi dalam perniagaan mereka. 

“Bagi graduan-graduan yang menghadiri program ini, mereka akan mendapat manfaat dengan mengadaptasikan IR4.0 dan pendigitalan kerana ini akan menaik taraf kualiti bakat tempatan serta menjadi nilai tambah kepada kualiti pembelajaran untuk kegunaan masa hadapan,” katanya. 

Beliau berkata peserta turut berpeluang untuk bekerjasama dengan Center of 9 Pillars (Co9P) secara hibrid, tertakluk kepada teknologi yang ingin dibina.

“Dengan rangkaian hab ini (Co9P), usahawan PKS berpeluang bekerjasama dan meluaskan rangkaian perniagaan bagi meningkatkan penyelesaian dan teknologi yang dapat diguna pakai dalam perniagaan mereka,” katanya.

Beliau berkata MTDC  turut mencari rakan niaga bagi menjalinkan program dengan ahli komuniti Co9P yang telah ditubuhkan di Kuala Lumpur, Sabah, Sarawak, Terengganu dan Johor. - BERNAMA
 

Advertisement