Anda di sini

Letupan di loji kimia Shanghai

Advertisement

Beberapa kebakaran yang tercetus turut menyebabkan seorang maut

Rakaman gambar dari udara kelmarin menunjukkan kebakaran besar di kilang Sinopec Shanghai Petrochemical di luar daerah Jinshan di Shanghai. — Gambar AFP
Rakaman gambar dari udara kelmarin menunjukkan kebakaran besar di kilang Sinopec Shanghai Petrochemical di luar daerah Jinshan di Shanghai. — Gambar AFP

SHANGHAI: Kepulan awan asap hitam yang besar berkumpul di langit Shanghai akibat beberapa kebakaran di sebuah kilang kimia kelmarin mencetuskan letupan yang menyebabkan sekurang-kurangnya seorang terbunuh, menurut media rasmi dan beberapa video saksi yang diperolehi oleh AFP.

Kebakaran di kilang Sinopec Shanghai Petrochemical di luar daerah Jinshan berlaku kira-kira jam 4 pagi waktu tempatan, namun berjaya dikawal lewat pagi tersebut, menurut kepada agensi berita rasmi Xinhua.

Rakaman gambar dari udara melalui dron yang dikongsikan seorang penduduk dengan AFP menunjukkan kepulan asap tebal berkumpul di atas zon perindustrian besar ketika tiga kebakaran marak di beberapa lokasi  berasingan, menjadikan langit gelap.

“Kebakaran di tempat kejadian berjaya dikawal dan pembakaran secara terlindung sedang dilakukan sekarang.

“Menurut kepada pemahaman awal kami, kebakaran itu telah menyebabkan satu kematian," lapor Xinhua.

Di kilang petrokimia, satu letupan pada awal pagi telah didengari penduduk sehingga sejauh enam kilometer, menurut kepada media tempatan.

Video dalam media sosial menunjukkan kepulan awan api yang besar dan debu berkepul-kepul naik ke ruang udara.

“Seluruh kawasan benar-benar terbakar,” seorang penduduk yang terkejut dapat didengar berkata di sebalik rakaman sebuah video.

Kebakaran berlaku ketika Shanghai, bandar paling ramai penduduk dan hab perindustrian di China, meneruskan urusan secara berhemah selepas ditutup selama kira-kira dua bulan bagi menangani wabak koronavirus yang dibawa varian Omicron.

Ketika kawalan pergerakan ditarik balik secara rasmi pada awal Jun, rantaian bekalan yang berkurangan dan penutupan kilang berterusan mempunyai kesan berpanjangan terhadap ekonomi global.

Kilang penapisan itu amat hampir dengan tepian laut di selatan Shanghai, termasuk sebuah taman tanah lembap.

Jabatan bomba Shanghai berkata dalam Weibo bahawa ia telah mengerahkan lebih 500 kakitangan dengan segera selepas insiden pada jam 4.28 pagi waktu tempatan itu.

Kementerian Pengurusan Kecemasan telah menghantar satu kumpulan pakar ke tempat kejadian, lapor CCTV.

Laporan tidak menyatakan kemungkinan punca untuk kebakaran tersebut. - AFP

Advertisement