Anda di sini

Koperasi di Sarawak rekod perolehan RM311 juta

Advertisement
Penerima pelbagai anugerah dan bantuan kewangan merakam gambar bersama Awang Tengah (enam kiri barisan belakang), Riot (lima kanan barisan belakang), Zamri (lima kiri barisan belakang) serta yang lain.
Penerima pelbagai anugerah dan bantuan kewangan merakam gambar bersama Awang Tengah (enam kiri barisan belakang), Riot (lima kanan barisan belakang), Zamri (lima kiri barisan belakang) serta yang lain.

SERIAN: Koperasi di Sarawak merekodkan perolehan RM311 juta setakat 31 Disember tahun lepas, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan. 

Jumlah perolehan ini katanya, adalah daripada 1,109 koperasi dengan ahli seramai 297,000 di Sarawak yang berdaftar di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM). 

“Dengan kekuatan aset RM636.4 juta dan pemilikan syer dan yuran berjumlah sehingga RM216.5 juta, jelas sekali bahawa gerakan koperasi mampu memacu perkembangan ekonomi negara khususnya Sarawak ke tahap yang lebih mantap,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Hari Koperasi Negara Peringkat Negeri di Dewan Masyarakat Serian di sini, hari ini. 

Pada majlis itu, Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan turut menggesa koperasi di Sarawak untuk mempelbagaikan dan merebut peluang baharu selari dengan Strategi Pembangunan Pasca Covid (PCDS). 

Jelasnya, antara bidang untuk diterokai termasuk pertanian komersial untuk membantu Sarawak mencapai keselamatan makanan dan menghalang kenaikan harga dengan mengurangkan import makanan. 

Beliau turut berkata dengan perhubungan jalan raya yang lebih baik, ia juga membuka peluang bagi koperasi untuk mengambil bahagian dalam sektor pembangunan hartanah dan perumahan. 

“Pemindahan ibu negara Indonesia juga dilihat sebagai peluang untuk koperasi terlibat dalam perdagangan sempadan,” tambahnya. 

Awang Tengah turut mengucapkan tahniah kepada SKM kerana berjaya memantau dan mengawal selia koperasi dan terbukti apabila masih ada koperasi yang mampu bertahan dan kekal aktif sehingga 73 tahun di Sarawak. 

Antaranya Koperasi Pekerja Pekerja Perdagang Sarawak Berhad, Koperasi Polis Di-Raja Malaysia Berhad dan Koperasi Koperkasa Sarawak Berhad yang ditubuhkan pada 1949. 

Sementara itu Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Suriani Ahmad berkata, koperasi di seluruh Malaysia merekodkan perolehan RM37.9 bilion tahun lepas. 

Katanya terdapat 14,834 koperasi berdaftar di seluruh negara dengan 7.08 juta ahli serta perkongsian modal dan yuran RM16.5 bilion serta aset RM155 bilion. 

“Bilangan koperasi meningkat 1.4 peratus pada 2021 manakala ahli koperasi meningkat 9.13 peratus,” katanya dalam ucapan yang dibacakan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Zamri Salleh. 

Hadir sama, Utusan Khas Perdana Menteri ke Asia Timur (Jepun, Korea Selatan dan Taiwan) Datuk Seri Richard Riot Jaem, Timbalan Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Martin Ben serta yang lain. 
 

Advertisement