Anda di sini

KKR perlu RM3.4 bilion baiki Jalan Persekutuan di Semenanjung Malaysia

Advertisement
 

GERIK: Kementerian Kerja Raya (KKR) memerlukan peruntukan RM3.4 bilion bagi membaiki Jalan Persekutuan yang sakit atau rosak di seluruh Semenanjung Malaysia.

Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata peruntukan diperlukan bagi memulakan kerja-kerja penambahbaikan dari segi penurapan, membuat lapisan atau jalan baharu, yang dijangka akan siap semuanya pada tahun depan (2023).

“Kita sedar, banyak keutamaan diambil kira sebelum peruntukan dikeluarkan yang kadangkala tidak mencukupi, seperti RM68juta yang diperlukan di Laluan Persekutuan FT004 (Jalan Timur Barat) ini.

“Kita tidak salahkan Kementerian Kewangan (MOF). Tapi itulah cabaran dihadapi. Namun kita akan cari jalan untuk membaikinya dari segi jangka pendek atau jangka panjang.

“KKR telah kenal pasti jalan tungggakan, bukan sahaja di Perak tetapi di seluruh Semenanjung Malaysia yang perlu diperbaiki selepas lima atau tujuh tahun tarikh hayatnya, kerana lapisan asal jalan tidak mampu lagi menampung (trafik). Bayangkan pula jika jalan itu dibina 40 tahun lamanya seperti di Gerik ini,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sidang media pada sesi taklimat berhubung laluan Laluan Persekutuan FT004 (Jalan Timur Barat) di sini, kira-kira 130 kilometer dari Ipoh hari ini, yang turut dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad.

Fadillah berkata kebiasaannya, antara langkah awal atau pelan jangka pendek dalam radar KKR, dengan membuat tampalan semula sebelum membina lapisan atau jalan baharu di lokasi jalan persekutuan yang telah dikenal pasti.

Berhubung lawatannya, Fadillah berkata kerja-kerja penampalan dan penurapan di jalan tersebut akan dibuat segera Sabtu ini, selepas meninjaunya kira-kira sejam bersama Saarani di kawasan itu dan melihat sendiri kerosakan yang dihadapi pengguna.

Menurut siaran media, Laluan Persekutuan FT004 itu merupakan Jalan utama Timur–Barat di Zon Utara Malaysia, yang menghubungkan tiga (3) negeri bermula di Kulim, Kedah melalui Gerik, Perak dan berakhir di Pasir Puteh, Kelantan dengan panjang keseluruhan jalan adalah 291.99KM.

Laluan FT004 di dalam Negeri Perak adalah sepanjang 114.660KM bermula di Seksyen 83.74 di sempadan Kedah dan berakhir di Seksyen 198.40 di sempadan Jeli, Kelantan.

Antara jenis kerosakan jalan raya yang telah dikenal pasti, kerosakan permukaan jalan, garisan cat jalan pudar, kerosakan lampu jalan dan kerosakan longkang yang mengakibatkan air bertakung. - BERNAMA
 

Advertisement