Anda di sini

Kanak-kanak kritikal ada dadah dalam badan

Advertisement
 

KOTA BHARU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun sembilan bulan dari Kampung Sri Bintang, Kuala Krai, dekat sini berada dalam keadaan kritikal selepas pemeriksaan doktor mendapati ada kandungan dadah dalam badannya.

Pemangku Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata seorang doktor membuat laporan mengenai kejadian itu pada 5 pagi semalam, selepas mangsa dihantar oleh ibunya berusia 36 tahun untuk mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai.

Katanya susulan kejadian itu, bapa saudara kanak-kanak tersebut berusia 30 tahun yang juga seorang penagih dadah tegar, telah ditahan.

"Pemeriksaan doktor mendapati ada kandungan dadah disyaki dadah jenis methamphetamine di dalam badan kanak-kanak tersebut berdasarkan ujian air kencing.

“Susulan itu, kanak-kanak tersebut telah dihantar untuk tindakan lanjut ke Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Bharu kerana keadaannya yang kritikal," katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Muhamad Zaki berkata siasatan awal mendapati ketika dalam jagaan bapa saudaranya, kanak-kanak tersebut dikatakan telah dibawa kemungkinan ke lokasi penagihan dadah.

"Polis sedang menyiasat sama ada kanak-kanak itu diberi dadah atau dibiarkan sehingga menyebabkan kanak-kanak itu terdedah kepada dadah.

“Polis telah menahan suspek (bapa saudara) pada 10 malam tadi yang dipercayai dapat membantu siasatan dalam kes ini," katanya.

Muhamad Zaki berkata kes tersebut adalah yang pertama seumpama itu berlaku di Kelantan.

“Sesuatu yang amat malang kerana melibatkan kanak-kanak. Polis dalam proses untuk mendapatkan perintah tahanan reman ke atas suspek dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya. - BERNAMA
 

Advertisement