Anda di sini

Dirgahayu DBP - Api dari Suatu Zaman (Bahagian 1)

Advertisement
 

Oleh Ja’afar Haji Hamdan

MENJELANG tahun 2022, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menjangkau usia ke-66 kewujudannya. Namun untuk DBP Cawangan Sarawak, tahun 2022 menjadi saksi usianya yang ke-45 tahun. Bayangkan setelah 45 tahun menabur bakti di negeri Sarawak ini, DBP Cawangan Sarawak sudah pasti tergaul dan dibauri pelbagai cabaran, hambatan dan harapan.
     Pada usia sebegitu rupa, DBP Cawangan Sarawak sewajarnya sudah cukup matang untuk memahami situasi dengan perubahan iklim pemikiran masyarakat serta anjakan suasana sosial, sama ada yang melibatkan hal-hal politik, ekonomi dan sebagainya. Perubahan ini tidak mampu untuk dihalang. Masyarakat tidak lagi terkongkong dalam gula-gula maklumat tetapi telah mampu merasai nikmat dan memilih santapan maklumat yang paling mereka kehendaki.
     Maka, DBP Cawangan Sarawak perlu menilai keberadaannya dalam konteks yang telah terjadi sama ada secara terancang atau yang di luar perancangan melalui perspektif negeri Sarawak. DBP Cawangan Sarawak sudah semestinya telah mempelajari selok-belok menangani pelbagai isu yang hadir dalam gagasan kepimpinan negeri Sarawak. Paling penting, DBP Cawangan Sarawak semestinya sudah mengerti tentang hala tuju dan situasi yang wajar untuk dihadapi bagi meneruskan visi dan misinya.    
     Seperti agensi kerajaan persekutuan lain di negeri Sarawak, DBP Cawangan Sarawak berperanan dan berfungsi dengan agendanya tersendiri melalui visi dan misinya. Dalam hal ini, visi dan misinya mestilah jelas dan berkiblatkan pada usaha menjunjung dan mendukung kedaulatan negara Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai peradaban dan seterusnya memperkasakan ketamadunan negara bangsa, iaitu bangsa Malaysia. 
     Justeru, mahu tidak mahu DBP Cawangan Sarawak harus memperkasakan teras visi dan misinya sesuai dengan perkembangan semasa, situasi kenegerian dan pemodenan yang berlaku dalam langkah menuju era revolusi industri 5.0. Gagasan ini bukan agenda muluk yang sengaja dicatat sebagai polisi ke depan tetapi perlu dijadikan rangka perancangan yang signifikan dengan kerelevanan kewujudan DBP secara umum.
     Maka, untuk memperkatakan tentang gagasan DBP Cawangan Sarawak bermula titik usianya yang ke-45 tahun, perkara paling utama yang perlu ditekuni adalah tentang rasionalnya DBP Cawangan Sarawak untuk merekayasa keintelektualan masyarakat dalam perihal bahasa kebangsaan, iaitu bahasa Melayu sebagai bahasa utama, bahasa ilmu dan bahasa ekonomi. 
     Tiga tunggak yang mendukung visi dan misi ini perlu ditangani dengan kaedah dan pendekatan berbeza apabila hendak dimartabatkan di negeri Sarawak. Dasar dan polisi kerajaan negeri Sarawak jelas menetapkan bahawa selain bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, bahasa Inggeris juga dimaktubkan sebagai bahasa rasmi yang kedua.
     Sebagai sebuah agensi kerajaan persekutuan, DBP Cawangan Sarawak bukan berdepan dengan masalah tetapi mendepani satu cabaran yang membuka banyak ruang dan peluang untuk melihat secara harfiah kewajarannya sebagai sebuah agensi yang unik untuk meneroka usaha-usaha merekayasa keintelektualan dan pada masa yang sama memperkasakan program atau kegiatan dengan sandaran dasar dan polisi kerajaan negeri Sarawak.
     Dalam mana-mana situasi pun di dunia ini, sesebuah kerajaan pasti akan menekankan prinsip dasar dan polisi sebagai agenda pemerintah untuk merangka pentadbiran, pengurusan dan hala tuju yang hendak dicapai. Hal ini juga berlaku terhadap negeri Sarawak dalam memastikan hasrat kepimpinan negeri untuk menjadikan negeri Sarawak sebagai negeri maju menjelang 2030 tercapai dengan jayanya.
     Namun, segala dasar dan polisi yang dicetuskan memerlukan keterlibatan masyarakat untuk memastikan segala perancangan menjadi realiti, dicapai dan dimanfaatkan. Masyarakat dalam konteks ini, termasuklah agensi kerajaan, korporat, pihak swasta, badan bukan kerajaan dan setiap warga negara. Tidak terkecuali, DBP Cawangan Sarawak.
     Dalam usaha DBP memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa yang termaktub dalam perlembagaan, khususnya dalam Perkara 152, DBP perlu melihat secara lebih luas peranannya dengan perkembangan semasa. Isu memartabatkan bahasa Melayu bukan lagi isu utama tetapi aspek-aspek yang mendukung bahasa Melayu sebagai bahasa utama perlu dilihat dengan tepat, betul dan terancang. 
     Selaras dengan usaha mendukung bahasa Melayu sebagai bahasa utama, bahasa ilmu dan bahasa ekonomi, sudah tentu DBP Cawangan Sarawak tidak lagi hanya berdiri dengan tunjang perlembagaan. Walaupun secara mutlaknya, perlembagaan menjadi akar paling kukuh mencengkam pohon urus tadbir DBP berkaitan dengan visi dan misinya, elemen kebugaran yang mampu menyerap kesuburan perlu dilakukan juga pada ranting-ranting kerjasama, daun-daun kebersamaan dan putik-putik kejayaan untuk menghasilkan buah ranum dalam konsep bahasa Melayu yang perlu dibajai dan disirami oleh masyarakat.
     Pemahaman ini penting untuk DBP Cawangan Sarawak merekayasa segala bentuk perancangan dan programnya agar selari dengan dasar dan polisi pemerintah serta memenuhi keperluan masyarakat yang sudah bijak untuk memperoleh maklumat dalam pelbagai kaedah. Merekayasa secara umumnya berasaskan kata dasar “rekayasa” yang bermaksud penerapan unsur-unsur ilmu, budaya dan sebagainya dalam perancangan, mekanisme kerja serta apa-apa sahaja kaedah untuk dijadikan asas pelaksanaannya. 
     Timbul persoalan, apakah yang wajar untuk direkayasa? Persoalan ini sudah tentu berlegar dalam lingkungan masyarakat. Apakah yang hendak direkayasa pada masyarakat? Apakah pembangunan kecanggihan? Atau pemodenan kemudahan? Atau peluang kemewahan dalam kehidupan? 
     Pertanyaan ini bermula daripada masyarakat itu sendiri, iaitu tentang cara mereka berfikir dan memanfaatkan pemikiran untuk memastikan kecanggihan menjadi makna kepada pembangunan, pemodenan memberi kemudahan yang selesa dan nyaman serta kemewahan dalam konteks keselamatan, kedamaian dan sebagainya. Kaedah berfikir dan kuasa pemikiran inilah yang terangkum dalam keintelektualan.
     Maka, dalam semua persoalan dan pertanyaan tadi, jelas berpusat pada keintelektualan untuk direkayasa. Hal ini penting untuk difahami kerana keintelektualan berasaskan kata dasar intelektual yang bermaksud orang yang cerdik pandai serta mempunyai kemampuan berfikir yang tinggi sebagai prinsip akal budi. Maka, DBP Cawangan Sarawak perlu memulakan agenda untuk merekayasa keintelektualan masyarakat berwahanakan bahasa Melayu. Namun, bagaimanakah cara untuk merealisasikannya? Persoalan inilah yang paling rumit untuk dirungkaikan. 
     Walau bagaimanapun, merekayasa keintelektualan itu perlu dihuraikan dengan pemahaman bahawa masyarakat sudah semakin bijak menilai dan membuat pilihan. Maka, merekayasa keintelektualan perlu menjadi satu konsep pembinaan pemikiran yang kemudiannya menjadi asas cara fikir masyarakat untuk memahami secara menyeluruh tentang kehidupan yang mutlak sehingga mampu melibatkan diri dalam rencah-rencah kehidupan demi memaknakan kesejahteraan nilai akal budi mereka sebagai hamba di dunia ini.
     Dalam konteks pemerkasaan dasar dan polisi melalui rekayasa keintelektualan, secara umumnya menjelaskan bahawa setiap kerajaan atau penguasa negara pasti akan menerapkan dasar dan polisinya untuk dijadikan agenda pembangunan, pemodenan dan kemajuan. Maka, merekayasa keintelektualan masyarakat melalui pemerkasaan dasar dan polisi ini bertujuan untuk menghasilkan warga negara Malaysia amnya dan warga negeri Sarawak khususnya, yang siap siaga mendepani sebarang perubahan oleh cetusan dasar dan polisi yang dirangka demi masa depan.
     Namun, untuk berbicara tentang masa depan, sudah tentu kita perlu melihat ke dalam sejarah itu sendiri. Sejarah bukan sekadar rakaman zaman tetapi juga menjadi halaman pedoman atau rujukan yang mencatat segala peristiwa dengan kejadian yang mempunyai sebab dan akibat. Maka, sejarah perlu diteliti dengan mata fikir yang rasional untuk diteladani secara munasabah dalam usaha membina masa depan.
     Kita tidak mahu kesilapan silam terus terulang pada masa depan. Kita pun payah untuk menjangkakan bahawa yang telah berlaku pada sejarah perlu kita ubah untuk mencari keselesaan rujukan masa depan. Kita pun tidak wajar untuk menyamakan waktu silam dengan keadaan semasa atau masa kini. Sejarah telah diketahui sebagai situasi yang telah berlaku, sedangkan kita melalui hari ini dan masih menikmatinya, apatah lagi tentang hari esok, kita belum pasti dapat memberi apa-apa makna selain hanya mampu membuat andaian dan tanggapan. Justeru, yang terdaya untuk kita lakukan adalah sekadar merancang keperluan dan pelaksanaan untuk masa depan. 

 

     Perbandingan yang hendak kita lakukan terhadap sejarah dan masa depan bukan terletak pada keupayaan kita memberi huraian definisinya. Yang lebih penting ialah pemahaman kita terhadap yang tersurat dan yang tersirat dalam setiap peristiwa sejarah itu. Setelah kita memahaminya, perancangan akan menjadi mudah, berfokus serta tersusun. Sebab, penentu kepada kejayaan bukan sahaja pada perancangan yang rapi tetapi juga melibatkan hak dan tindak seseorang manusia itu sendiri, iaitu kita.
     Justeru, apa-apa sahaja usaha yang hendak kita lakukan, semuanya bertujuan untuk kesejahteraan umat manusia sama ada kita menyedarinya atau tidak. Realiti inilah yang selama ini kita abaikan kerana kita lebih berminat melihat kejayaan yang ditandai dengan kebendaan sehingga kita terlupa bahawa kejayaan melalui kebendaan itu juga memerlukan pemikiran dan emosi seseorang manusia untuk menentukannya.
     Justeru, apabila kita kembali melihat sejarah, sudah tentu faktor manusia yang mencorakkannya menjadi sebuah peristiwa. Hal ini juga akan berlaku pada masa depan. Sebagai contoh, sekarang ini, kita yang berada pada abad ke-21, jelas terbawa-bawa dengan pemodenan yang dicirikan oleh teknologi melalui revolusi industri 4.0 dan kita sedang memasang impian untuk beralih ke revolusi industri 5.0. Mungkin kita tidak menjangkakan yang sejarah pasti akan berulang dalam kehidupan kita tetapi berpunca dengan sebab dan akibat yang berbeza. Hal ini jelas berlaku pada masa kini. 
     Namun, sebagai manusia, kita masih berperanan untuk menentukan sama ada revolusi itu akan menjadi realiti ataupun tidak apabila kita mahu menerima dan menyokongnya. Bayangkan jika kita menolak bulat-bulat peralihan dan perubahan ini, sudah tentu kita bertanggapan bahawa kita akan tertinggal atau kita berani membuat andaian bahawa kita tidak mampu mencapai kepesatan dan kemajuan yang seiring dengan tuntutan semasa. Apakah benar akan terjadi sedemikian? Justeru, apakah pilihan kita sebenarnya?
     Pertanyaan ini perlu menjadi inti pati DBP Cawangan Sarawak setelah 45 tahun bertapak di negeri Sarawak ini. Usaha merekayasa keintelektualan melalui dasar dan polisi kerajaan negeri Sarawak harus menjadi “api dari suatu zaman”. Api yang akan bermula dengan secebis cahaya yang kemudian akan marak menyala sebagai semangat, kemeriahan dan kemanfaatan kepada masyarakat. Bukan api yang membakar dan menghanguskan bangsa itu sendiri. 
     DBP Cawangan Sarawak perlu yakin tentang apa-apa jua tindakan yang akan dilaksanakan berdasarkan tanggungjawab dan amanah yang telah dijadikan visi dan misi sejak penubuhannya. Visi dan misi penubuhan itu juga merupakan “api” yang telah ditetapkan pada “zaman” kewujudannya. Berdasarkan alasan itu, DBP Cawangan Sarawak setelah mencapai usia 45 tahun perlu menjadi “api” untuk “zaman” yang sesuai dengan dasar dan polisi kerajaan negeri Sarawak.
     Titik mula bagi DBP Cawangan Sarawak mencetuskan “api” ini dalam konteks merekayasa keintelektualan melalui dasar dan polisi kerajaan negeri Sarawak adalah untuk pembangunan masyarakat dalam aspek dalaman yang memerlukan kejernihan emosi, keutuhan spiritual dan pemerkasaan intelektual. Emosi yang memaknakan kesejahteraan. Spiritual yang membina toleransi antara sesama manusia dan intelektual yang mampu melonjakkan pembaharuan dan penambahbaikan kehidupan sejagat.
     Merekayasa keintelektualan dalam aspek emosi dan spiritual sudah sekian lama terlaksana dengan baik dan jayanya. Sebagai contoh, menyemarakkan nilai perpaduan melalui semangat Satu Malaysia, prinsip Keluarga Malaysia dan sebagainya. DBP secara umum telah bersama-sama menjayakan pelbagai gagasan kerajaan tersebut dengan pelbagai program yang sedia ada terancang dalam agenda DBP.
     Kini, pemerkasaan keintelektualan untuk memahami dasar dan polisi yang perlu digerakkan secara lebih menyeluruh agar kesediaan, kemahuan dan keyakinan tentang usaha-usaha melonjakkan pembaharuan dan penambahbaikan kehidupan sejagat mampu dijadikan pemangkin untuk melakukan peralihan ataupun perubahan, khususnya dalam kalangan masyarakat itu sendiri. 
     Apakah dasar dan polisi kerajaan negeri Sarawak yang mampu dijadikan sasaran merekayasa keintelektualan masyarakat Sarawak? Kalau melihat pada sejarah dan penegasan negeri Sarawak, Sarawak mahu beranjak daripada status negeri dalam Malaysia kepada wilayah yang bersama-sama membentuk Malaysia. Frasa ini sebenarnya telah memberi satu definisi semula terhadap keberadaan Sarawak dan Sabah dalam Malaysia. Namun, apakah dasar dan polisi di peringkat persekutuan tidak perlu menjadi sandaran di negeri Sarawak? Persoalan ini menyelongkar pelbagai aspek yang memberi satu desakan kepada kerajaan negeri Sarawak untuk melihat rasional-rasional dasar dan polisi di peringkat negeri yang wajar bersifat wilayah.
     Untuk memudahkan pemahaman kita dalam hal ini, kita perlu meneliti perjalanan ringkas sejarah kepolitikan negeri Sarawak yang telah berlaku dalam konteks pembentukan kerajaan negeri Sarawak sehingga muncul gagasan ingin menjadikan Sarawak negeri maju menjelang 2030. 
     Sarawak, seperti yang kita sedia maklum mempunyai lebih daripada 30 kumpulan etnik dan kaum. Kepelbagaian etnik dan kaum ini, menyebabkan negeri Sarawak mempunyai keunikannya tersendiri. Proses asimilasi berlaku dalam kepelbagaian kaum dan etnik di negeri ini. Konsep saling menerima menjadi amat dominan sehingga terlihat dalam institusi sesebuah keluarga yang terdiri daripada pelbagai kaum sama ada, datuk dan neneknya, ibu dan bapanya, atau anak atau menantunya. Asimilasi ini telah membentuk negeri Sarawak sebagai sebuah negeri yang mempunyai multietnik yang bersatu dalam kelompok yang semakin membesar dan penuh harmoni. 
     Permulaan yang cukup dominan sebagai asas memaknakan dasar dan polisi ialah pada tahun 1970, apabila Datuk Patinggi Abdul Rahman Ya’kub dilantik menjadi Ketua Menteri Sarawak. Pelantikan Datuk Patinggi Abdul Rahman Ya’kub sebagai Ketua Menteri Sarawak sesuai dengan pencapaian beliau semasa menjadi Timbalan Menteri dan Menteri di peringkat persekutuan. Penggubalan dasar dan polisi kerajaan negeri Sarawak pada masa ini masih belum mencirikan isu-isu yang ada di negeri Sarawak secara tuntas. Namun, jasa dan sumbangan besar Tun Abdul Rahman perlu dicatat sebagai orang yang bertanggungjawab terhadap penubuhan Yayasan Sarawak, berperanan dalam mengangkat darjat bahasa Melayu dalam sistem pendidikan negara selepas peristiwa 13 Mei 1969 dan merangka strategi menentang ancaman komunis di Sarawak. Beliau juga mengesyorkan kepada kerajaan persekutuan agar menubuhkan syarikat minyak negara yang kemudiannya dikenali sebagai Petronas pada tahun 1974.
     Bahkan semasa beliau berkhidmat sebagai Menteri Pelajaran pada tahun 1969, beliau telah mengambil langkah berani dengan menukar bahasa pengantar untuk sekolah-sekolah dan institusi pengajian tinggi daripada bahasa Inggeris ke bahasa Melayu. Beliau juga antara yang berperanan dalam mewujudkan Universiti Kebangsaan Malaysia. Kredibiliti Tun Abdul Rahman dan hubungan baik yang sedia ada dengan kerajaan persekutuan memudahkan pentadbiran beliau di negeri Sarawak. Dasar dan polisi kerajaan persekutuan sedikit sebanyak turut mempengaruhi dasar dan polisi beliau di negeri Sarawak. 
     Walau bagaimanapun, Tun Abdul Rahman bertindak bijak dengan merapatkan jurang kesenjangan politik berdasarkan kaum di negeri Sarawak melalui dasar dan polisi beliau. Prinsip gabung parti berdasarkan parti kaum dalam satu ikatan kepartian telah menjadi sebuah konsep yang diamalkan sehingga kepimpinan masa kini. Kesinambungan kepimpinan Tun Abdul Rahman diteruskan oleh Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud sebagai Ketua Menteri Sarawak. 

(Bahagian ke-2 esei ini akan disiarkan pada 4 Julai 2022)

 
Advertisement