Anda di sini

13 ahli sindiket pinjaman tidak wujud ditahan

Advertisement
Mohd Shuhaily menunjukkan barang rampasan berhubung kejayaan menumpaskan kumpulan yang melakukan khianat dan menawarkan pinjaman wang tidak wujud. - Gambar Bernama
Mohd Shuhaily menunjukkan barang rampasan berhubung kejayaan menumpaskan kumpulan yang melakukan khianat dan menawarkan pinjaman wang tidak wujud. - Gambar Bernama

GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang menumpaskan sindiket along dan memberi pinjaman tidak wujud yang turut melakukan khianat serta ugutan jenayah selepas menahan 13 individu dalam serbuan di sebuah kondomonium mewah, di Perda dekat sini pada 15 Jun lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata kejayaan itu hasil serbuan yang dijalankan oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pulau Pinang pada 12.45 tengah hari ekoran laporan berkaitan kes khianat dan ugutan jenayah membabitkan sindiket tersebut.

"Sepasukan polis pada mulanya menyerbu kondominium itu kerana menerima maklumat berhubung kegiatan along, khianat, simbah cat dan ugutan jenayah yang dijalankan suspek yang tinggal di rumah tersebut. Semasa serbuan mendapati terdapat sembilan lelaki dan empat wanita di situ.

Siasatan mendapati sindiket itu menjadikan kondominium tersebut sebagai tempat menjalankan sindiket memberi pinjaman tidak wujud dengan mengenakan yuran pemprosesan kepada mangsa yang mahu meminjam wang daripada mereka," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya berdasarkan siasatan 13 suspek itu merupakan ahli sindiket dan mereka berperanan untuk menghubungi mangsa bagi menawarkan pinjaman tidak wujud malah setiap seorang turut dibekalkan dengan skrip untuk menperdaya peminjam.

Mohd Shuhaily berkata hasil semakan mendapati 132 kertas siasatan membabitkan pinjaman tidak wujud telah dibuka hampir seluruh negara dengan kerugian direkodkan RM1.914 juta melibatkan sindiket itu.

Katanya modus operandi sindiket tersebut adalah mengiklankan pinjaman mereka menerusi media sosial seperti Facebook dan aplikasi WhatsApp serta seterusnya berhubung dengan mangsa sebelum memperdayakan mereka dengan meminta sejumlah bayaran sebagai yuran pemprosesan.

"Namun ada kes yang jumlah wang mahu dipinjam oleh mangsa tidak diberikan manakala mereka yang mendapat pinjaman akan diugut termasuk ada yang disimbah cat, dikhianat dan pelbagai lagi," katanya.

Beliau berkata berdasarkan siasatan, sindiket itu menjalankan kegiatan tersebut sejak tahun lepas dan berpindah-randah dari satu tempat ke tempat lain dan kondominium mewah berkenaan dihuni sejak empat bulan lepas.

Menurutnya dalan serbuan di rumah sewa itu, polis merampas 27 unit telefon bimbit, komputer riba, sebuah kereta dan 10 buku nota tercatat nombor telefon serta nombor akaun mangsa.

"Tiga daripada suspek yang kesemuanya  berusia 19 hingga 30 tahun itu mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah, semua mereka kini direman untuk siasatan lanjut," katanya dan menambah mereka disiasat mengikut Seksyen 427 dan 420 Kanun Keseksaan. - BERNAMA
 

Advertisement