Anda di sini

Bangladesh kembali dilanda banjir, dua juta penduduk terkandas

Advertisement
Penduduk membawa barang mereka ketika meninggalkan kawasan yang dilanda banjir selepas hujan lebat di pinggir bandar Sylhet, kelmarin. — Gambar AFP
Penduduk membawa barang mereka ketika meninggalkan kawasan yang dilanda banjir selepas hujan lebat di pinggir bandar Sylhet, kelmarin. — Gambar AFP

SYLHET: Bangladesh telah mengerahkan pasukan tenteranya bagi membantu dua juta orang yang terkandas akibat banjir selepas hujan monsun berterusan melanda beberapa kawasan besar buat kali kedua dalam masa beberapa minggu, menurut pihak berkuasa kelmarin.

Banjir merupakan satu bencana biasa bagi berjuta-juta orang di Bangladesh yang bertanah rendah, namun pakar menyatakan perubahan iklim sedang meningkatkan kekerapan, kekuatannya dan sukar dijangkakan.

Sebahagian besar timur laut negara telah ditenggelami air dan situasi mungkin bertambah buruk pada hujung minggu dengan lebih banyak hujan lebat diramalkan.

Pihak berkuasa menangguhkan ujian graduasi sekolah tinggi yang penting di seluruh negara, dengan beratus-ratus kelas kini digunakan sebagai tempat perlindungan sementara bagi orang yang rumah mereka telah ditenggelami air.

“Situasi adalah sangat membimbangkan. Lebih dua juta orang sekarang terkandas akibat banjir,” ketua pentadbiran wilayah Sylhet Mohammad Mosharraf Hossain memberitahu wartawan AFP.

“Penduduk berlindung di atas bot mereka. Kami telah mengerahkan pihak tentera dan kami sedang cuba untuk memindahkan mereka.”

Hossain menyatakan pihak berkuasa telah menghantar pasukan tentera ke pekan luar bandar yang dilanda banjir, dengan anggota tentera pergi dari rumah ke rumah menyerahkan bantuan serta menyelamatkan orang dari air pasang.

Hujan lebat yang bermula pada minggu lepas di Bangladesh dan bahagian lain di negara jiran India membawa kepada sungai-sungai melimpah dari tebingnya, kata Arifuzzaman Bhuiyan dari badan kerajaan Pusat Ramalan dan Amaran Banjir.

Beliau menambah bahawa sungai Surma, laluan perairan terbesar di wilayah Sylhet, adalah lebih satu meter lebih tinggi berbanding biasa.

“Ini adalah salah satu banjir terburuk dalam sejarah wilayah. Situasi akan bertambah buruk dalam masa tiga hari akan datang,” katanya.

Sebahagian besar kawasan sekarang mengalami ketiadaan bekalan elektrik dan Internet, wartawan Bangladesh yang berpusat di Sylhet Mamun Hossain memberitahu AFP dari wilayah tersebut.

Banjir terburuk dalam tempoh hampir dua dekad melanda  Sylhet pada lewat bulan lepas, dengan sekurang-kurangnya 10 orang maut dan empat juta penduduk terjejas. — AFP
 

Advertisement