Anda di sini

Vale, InvestPerak bekerjasama tarik pelabur dari negara Amerika Latin dan Caribbean

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Vale, pelabur asing terbesar Perak dan InvestPerak pada Jumaat bersama-sama menganjurkan lawatan membawa lima duta Amerika Selatan ke Terminal Maritim Teluk Rubiah (TRMT) di Manjung, Perak.

Ketua Pegawai Eksekutif Vale in Malaysia Rodrigo Ribeiro de Araújo berkata syarikat itu berminat untuk berkongsi pengalamannya dalam menjalankan perniagaan di Perak dengan bakal pelabur dari Negara-Negara Amerika Latin dan Caribbean (GRULAC).

"Negeri Perak yang mesra pelabur berpotensi untuk menjadi salah satu kawasan utama pertumbuhan rantau ini," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Delegasi dari kedutaan Argentina, Brazil, Chile, Cuba dan Peru meluangkan masa separuh hari melawat tapak Manjung yang menempatkan pusat pengedaran bijih besi Vale untuk rantau Asia Pasifik.

Rodrigo berkata syarikat itu memulakan operasinya di Perak pada tahun 2011 dan telah menawarkan lebih 1,000 pekerjaan untuk rakyat Malaysia.

“Perak adalah penting dalam strategi rantaian bekalan Vale di Asia Pasifik, pasaran serantau bijih besi terbesar di dunia. Lokasi geografi TRMT yang strategik membolehkan kami membawa hasil lombong kami di Brazil lebih dekat dengan pelanggan kami di rantau ini,” katanya.

Beliau berkata operasi Vale di TRMT juga mendapat manfaat daripada rangkaian infrastruktur Perak yang lengkap dan sudah bertambah baik.

"Tenaga kerja langsung kami di TRMT terdiri daripada lebih 90 peratus rakyat Perak dan kami telah mengenal pasti ketersediaan kumpulan bakat berkemahiran tinggi di negeri ini sebagai kekuatan teras," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif InvestPerak Izran Abdullah berkata: "Vale ialah sumber tunggal terbesar pelaburan langsung asing (FDI) di negeri ini dan kami menantikan kehadiran berterusan syarikat itu di negeri ini.

"Rekod prestasi penciptaan nilai produktif untuk Vale di Perak adalah bukti keupayaan negeri menjana cadangan nilai yang menarik untuk sebuah syarikat global," katanya.

Vale, salah satu syarikat perlombongan terbesar di dunia ialah pengeluar bijih besi dan nikel terkemuka global.

Hab pengedaran Vale di Manjung direka untuk mengendalikan 30 juta tan bijih besi setahun.

Pelaburan AS$1.4 bilion dalam TRMT kekal sebagai FDI tunggal terbesar di Perak.

TRMT ialah salah satu pelabuhan automasi sepenuhnya yang pertama di rantau ini. - BERNAMA
 

Advertisement