Anda di sini

Ribuan sertai upacara keagamaan Hindu di gunung berapi Indonesia 

Advertisement
Penduduk kampung menggunakan jaring untuk menangkap persembahan yang dicampak oleh suku Tengger ketika upacara keagamaan Hindu di kawah gunung berapi Bromo yang aktif di Probolinggo, wilayah Jawa Timur kelmarin. — Gambar AFP
Penduduk kampung menggunakan jaring untuk menangkap persembahan yang dicampak oleh suku Tengger ketika upacara keagamaan Hindu di kawah gunung berapi Bromo yang aktif di Probolinggo, wilayah Jawa Timur kelmarin. — Gambar AFP

PROBOLINGGO: Beribu-ribu penganut agama Hindu memanjat gunung berapi aktif di Indonesia kelmarin untuk mencampakkan persembahan seperti tanaman dan ternakan ke dalam kawah yang membuak-buak dalam upacara keagamaan.

Setiap tahun orang dari suku Tengger berkumpul di sekitar Gunung Bromo untuk mendaki ke puncaknya untuk melemparkan kambing, ayam, buah-buahan, bunga dan sayur-sayuran ke dalam kawah gunung sempena festival Yadnya Kasada.

Sebuah kumpulan penyembah, dengan menggendong beberapa kambing di belakang mereka, berjalan ke tepi kawah dengan harapan akan mengambil hati dewa Hindu mereka sambil membawa kemakmuran dan berkat kepada komuniti Tengger, sebuah kelompok Orang Asli di Jawa Timur.

“Sungguhpun pandemik, saya masih datang ke sini setiap tahun untuk membawa tanaman (untuk dicampak ke kawah) bagi mengucapkan terima kasih kepada tuhan-tuhan dan nenek moyang,” kata Wawan, salah seorang penyembah.

Wawan sebelum ini telah memberikan persembahan ayam dan tanaman ke dalam kawah gunung berapi sambil mendoakan kesihatan dan kekayaan yang baik di atas gunung dengan permandangan matahari terbit yang indah nian.

Sesetengah penduduk kampung bukan suku Tengger berdiri di lereng curam kawah dengan jaring untuk merebut persembahan lalu melenyapkan diri ke dalam asap.

Ia bukan sebahagian daripada ritual, tetapi sesetengah penduduk tempatan enggan membazirkan persembahan itu.

Upacara kelmarin merupakan upacara Yadnya Kasada ketiga sejak wabak COVID-19 melanda Indonesia.

Bambang Suprapto, ketua persatuan masyarakat Hindu tempatan, berkata upacara tahunan itu perlu diteruskan kerana ia “tidak boleh diadakan di tempat lain” atau secara maya.

Perayaan ini bermula dengan legenda abad ke-15,  puteri kerajaan Hindu Majapahit Jawa, Roro Anteng dan suaminya.

Tidak dapat melahirkan anak selepas bertahun-tahun berkahwin, pasangan itu memohon bantuan dewa-dewa.

Doa mereka ditunaikan dan mereka dijanjikan 25 kanak-kanak, asalkan mereka bersetuju untuk mengorbankan anak bongsu mereka dengan melemparkannya ke Gunung Bromo.

Legenda mengatakan anak mereka melompat ke gunung berapi dengan sukarela untuk menjamin kemakmuran orang Tengger.

Tradisi pengorbanan berterusan hingga ke hari ini, walaupun suku Tengger mengorbankan hasil tuaian dan haiwan ternakan mereka dan bukannya manusia.

Ketika ketua masyarakat tempatan Bambang melemparkan tanamannya ke dalam kawah gunung berapi, dia berdoa untuk hubungan harmoni antara manusia dan Tuhan, alam semula jadi, dan sesama manusia.

“Jika kita menjaga alam semula jadi, ia akan menjaga kita juga,” katanya. — AFP 
 

Advertisement