Anda di sini

Polis Nigeria selamatkan 35 remaja perempuan dipaksa jadi hamba seks

Advertisement
 

LAGOS: Polis Nigeria kelmarin berkata mereka telah menyelamatkan 35 remaja perempuan dari sebuah hotel di mana mereka dipergunakan sebagai hamba seks dan kemudian terpaksa melahirkan dan menjual bayi mereka.

Polis Nigeria sebelum ini telah membebaskan berpuluh-puluh wanita dan bayi bawah umur dari rumah bersalin haram yang dikenali sebagai “kilang bayi” di mana wanita dipaksa untuk melahirkan anak untuk dijual di pasaran gelap.

Kesemua remaja itu diselamatkan dari hotel Gally Gally pada Isnin di negeri Anambra, di mana mereka dipergunakan “sebagai hamba seks, pelacuran dan kilang bayi,” kata jurucakap polis negeri Tochukwu Ikenga lewat kelmarin.

Empat daripada remaja perempuan itu hamil, katanya, manakala sebilangan senjata dan wang tunai dirampas di hotel.

Ikenga menjelaskan bahawa siasatan sedang dijalankan manakala kesemua remaja itu akan diserahkan kepada agensi kerajaan untuk pemulihan.

Beliau berkata pemilik hotel itu melarikan diri, manakala tiga suspek ditangkap.

“Kesemua suspek akan didakwa di mahkamah pada akhir siasatan.”

Digelar “kilang,” ia biasanya kemudahan haram kecil yang menjadi klinik perubatan swasta yang menempatkan wanita hamil dan menawarkan bayi mereka untuk dijual.

Dalam kebanyakan kes, wanita muda telah ditahan tanpa kerelaan mereka dan diserang secara seksual sebelum bayi mereka dijual di pasaran gelap. — AFP 
 

Advertisement