Anda di sini

Penunjuk perasaan bakar kereta api di India 

Advertisement
Penunjuk perasaan berkumpul di landasan kereta api di Secunderabad kelmarin ketika membantah skim pengambilan anggota tentera jangka pendek yang baharu. — Gambar AFP
Penunjuk perasaan berkumpul di landasan kereta api di Secunderabad kelmarin ketika membantah skim pengambilan anggota tentera jangka pendek yang baharu. — Gambar AFP

PATNA: Penduduk India yang berang telah membakar beberapa kereta api dan bertelingkah dengan polis semasa perhimpunan menentang skim pengambilan anggota tentera jangka pendek yang baharu kelmarin.

Minggu ini, kerajaan mengumumkan rancangan pengambilan kemasukan sementara golongan dewasa muda ke dalam angkatan bersenjata selama empat tahun – perubahan besar berbanding sebelumnya yang mana pangkat tidak ditauliahkan merupakan pekerjaan seumur hidup.

Kemasukan baharu akan hilang kelebihan yang dinikmati oleh kakitangan sedia ada, termasuk pencen kerajaan, melainkan mereka dikekalkan selepas program empat tahun.

Polis di negeri timur Bihar menggunakan gas pemedih mata untuk menyuraikan orang ramai yang sudah tidak terkawal yang telah membakar empat gerabak kereta api serta cuba menyerang bangunan kerajaan.

Protes itu “pada mulanya aman tetapi bertukar ganas di beberapa tempat”, kata seorang pegawai kanan di ibu negeri Patna.

Polis rusuhan “bertindak dengan berhati-hati bagi mengelak daripada melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan. Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan serius setakat ini,” jelasnya.

Pihak berkuasa membatalkan berpuluh-puluh perkhidmatan kereta api penumpang dan mengerahkan polis tambahan ke stesen kereta api dalam usaha untuk mengelakkan keadaan bertambah buruk.

Bihar mencatatkan kadar pengangguran dan kemiskinan tertinggi di India dan telah memperoleh reputasi sebagai negara yang ketinggalan dalam pertumbuhan ekonomi negara beberapa dekad yang lalu.

Pada Januari ramai pemohon pekerjaan Bihar yang berang membakar kereta api, menghalang landasan kereta api dan membakar patung Perdana Menteri Narendra Modi.

Mereka mendakwa bahawa peperiksaan kelayakan ke sektor kereta api yang dikendalikan oleh kerajaan telah dijalankan secara tidak adil.

Pengangguran telah lama mencengkam ekonomi India, dengan angka pengangguran paling teruk sejak 1970-an bahkan sebelum wabak COVID-19 telah melumpuhkan perdagangan tempatan.

Kerajaan Modi melancarkan rancangan pengambilan anggota tentera baharu sebagai jalan untuk memodenkan angkatan bersenjata dengan angkatan tentera yang lebih muda dan lebih kuat sambil mewujudkan ratusan ribu pekerjaan baharu.

Jeneral bersara, Birender Dhanoa memberitahu bahawa angkatan tentera India seramai 1.4 juta kini “sarat” dan memerlukan pembaharuan, namun juga mempersoalkan sama ada skim itu merupakan penyelesaian yang sesuai.

“Empat tahun agak singkat dan terasa seperti mengeksploitasi,” katanya. 

“Kita perlu mengkaji sama ada ia bermanfaat untuk angkatan tentera.”

Beberapa bandar lain di seluruh India juga menyaksikan tunjuk perasaan terhadap skim itu kelmarin dengan polis berhampiran ibu kota New Delhi juga menggunakan gas pemedih mata ke atas orang ramai. — AFP 
 

Advertisement