Anda di sini

Pasaran getah diramal bergerak dalam jajaran kecil minggu depan

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Pasaran getah Malaysia dijangka didagangkan dalam jajaran kecil dengan kecenderungan menurun minggu depan berikutan ekonomi global yang lembap.

Bekas presiden Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia Denis Low berkata sentimen ekonomi global jelas nampak suram dengan unjuran kekurangan makanan yang besar dan dijangkakan dunia akan mengalami kemerosotan selanjutnya dalam sebarang harapan untuk program pemulihan global.

“Keluar sahaja daripada pandemik, dunia mula mengharapkan program pembinaan semula dan pemulihan yang diperlukan, tetapi malangnya, apa yang kita lihat sejak kebelakangan ini adalah sebaliknya.

“Konflik di Ukraine menyebabkan masalah besar kepada dunia akibat sekatan yang merugikan lebih banyak negara dan rakyat dan langkah (sekatan) itu mungkin telah kehilangan niat asalnya,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, seorang lagi peniaga berkata harga dalam pasaran getah akan dipengaruhi oleh pasaran hadapan getah serantau, pergerakan ringgit dan penanda aras harga minyak mentah.

Beliau menambah pengendali pasaran juga akan terus memantau kesan kenaikan kadar faedah baru-baru ini oleh Amerika Syarikat (AS) dan langkah China yang berterusan untuk membendung COVID-19 terhadap aktiviti ekonomi global.

Bagi minggu yang baru berakhir, getah tempatan kebanyakannya didagangkan lebih rendah, mengambil petunjuk daripada pasaran hadapan getah serantau yang lebih lemah, ringgit yang kukuh berbanding dolar AS serta kenaikan kadar faedah agresif terkini oleh Rizab Persekutuan AS.

Bagi perbandingan mingguan Jumaat hingga Jumaat, harga fizikal rujukan Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk Getah Mutu Malaysia (SMR) 20 turun 32.5 sen kepada 698 sen sekilogram (kg), manakala lateks pukal susut 58.5 sen kepada 622 sen sekg.

Pada jam 5 petang urus niaga Jumaat, harga penutup LGM untuk SMR 20 ialah pada 701 sen sekilogram, manakala lateks pukal pada 621 sen seg. - BERNAMA
 

Advertisement