Anda di sini

Sekolah Henry Gurney Puncak Borneo antara tiga sekolah tahanan juvana terbaik SPM 2021 di Malaysia

Advertisement

PADAWAN: Sekolah Henry Gurney Puncak Borneo tersenarai antara tiga sekolah tahanan juvana terbaik di Malaysia selepas mencatatkan kelulusan 100 peratus dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 yang diumumkan keputusannya pada Khamis.

Ketua Pengarah Penjara Malaysia Dato Nordin Muhamad berkata, Sekolah Henry Gurney Puncak Borneo mempunyai 21 pelajar yang menduduki peperiksaan itu pada 2021 dan mencatatkan Gred Purata Sekolah (GPS) 4.19.

"Sekolah Henry Gurney Puncak Borneo adalah antara sekolah yang terbaik, selain Sekolah Henry Gurney Tok Mas dan Sekolah Henry Gurney Keningau. Secara keseluruhan, seramai lebih kurang 101 pelajar kita yang telah menduduki SPM 2021 dan yang mendapat 7A seramai dua orang, 6A (8 orang), 5A (10 orang), 4A (9 orang) dan 3A (13 orang)," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penganugerahan Pingat Tertinggi Jabatan Penjara Malaysia Tahun 2022 dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2021 Zon Sarawak di Kompleks Penjara Puncak Borneo di sini, hari ini.

Nordin ketika ditemui selepas Majlis Penganugerahan Pingat Tertinggi Jabatan Penjara Malaysia Tahun 2022 dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2021 pada hari ini.
Nordin ketika ditemui selepas Majlis Penganugerahan Pingat Tertinggi Jabatan Penjara Malaysia Tahun 2022 dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2021 pada hari ini.

Nordin berkata, pencapaian itu memperlihatkan komitmen kerajaan untuk memastikan tahanan turut cemerlang dalam pendidikan.

"Apa sahaja peluang yang tersedia di luar akan diusahakan agar mereka di dalam tahanan juga tidak tercicir. Latihan-latihan kemahiran TVET kini juga diperkemaskan agar bersesuaian dengan keperluan tahanan di dalam penjara," tambahnya.

Terdahulu, beliau merasmikan Majlis Penganugerahan Pingat Tertinggi Jabatan Penjara Malaysia Tahun 2022 dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2021.

Seramai 33 penerima menerima pingat tertinggi pada majlis tersebut terdiri daripada lima penerima Pingat Komisioner Jeneral Penjara (Kelas Pertama), 20 penerima Pingat Komisioner Penjara (Kelas Kedua), dua penerima Pingat Jasa Penjara dan enam penerima Sijil Penghargaan.

Manakala, seramai 90 orang menerima APC.

  • oleh
  • Advertisement