Anda di sini

Rakyat Pakistan berang digesa kurangkan minum teh

Advertisement

ISLAMABAD: Seorang menteri Pakistan membangkitkan kontroversi apabila menggesa rakyat untuk mengurangkan minum teh sebagai cara untuk mengawal penggunaan mata wang asing yang membayar import daun yang digunakan dalam membancuh minuman popular itu.

Pakistan adalah pengimport teh terbesar di dunia, yang dikenali orang tempatan sebagai 'chai', dengan kerajaan membayar lebih AS$515 juta setahun untuk membawa masuk komoditi itu, kebanyakannya dari Kenya.

Negara ini sudah lama mengalami krisis ekonomi, dengan rizab asing yang semakin berkurangan yang digunakan untuk membayar hutang.

"Saya juga akan merayu kepada negara untuk mengurangkan satu dua cawan teh kerana teh kita diimport secara kredit," kata Ahsan Iqbal, menteri perancangan dan pembangunan, pada Selasa.

Seorang pekerja menuang teh ke dalam cawan untuk para pelanggan di sebuah restoran di Islamabad, kelmarin.
Seorang pekerja menuang teh ke dalam cawan untuk para pelanggan di sebuah restoran di Islamabad, kelmarin.

Penduduk Pakistan meminum teh dalam pelbagai bentuk – hitam, hijau, panas, sejuk, manis, masin dan berempah – tetapi teh yang paling digemari adalah dengan membancuh daun teh dengan susu manis.

Komen Iqbal kelmarin menimbulkan kemarahan di media sosial dan kedai teh di seluruh negara.

"Mengapa kami harus mengurangkan penggunaan teh?

"Kami minum dengan perbelanjaan sendiri, kami tidak minum dengan wang kerajaan," kata Jan Muhammad, 45, pemandu trak yang mengakui minum teh antara 15 hingga 20 cawan sehari.

"Apabila anda memandu dan tidak dapat melihat jalan, maka ada risiko kemalangan.

"Itulah sebabnya 20 cawan adalah wajib," tegasnya.

"Kerajaan telah meningkatkan perbelanjaan mereka. Mereka menaiki kereta mewah dengan protokol tetapi kami hanya menikmati teh," katanya lanjut.

Di sebuah gerai teh di pasar Aabpara di Islamabad, tukang roti Muhammad Ibrahim mendakwa minum 12 cawan setiap hari.

"Saya minum tiga, empat cawan pada waktu pagi, kemudian tiga pada sebelah petang dan tiga, empat cawan pada lewat malam.

"Itulah ketagihan saya," katanya.

Di restoran yang sama, Tanveer Iqbal bersetuju bahawa orang ramai harus mengurangkan penggunaan teh, walaupun ketika itu dia dan empat anaknya menghirup minuman itu.

Profesor universiti itu menyatakan teh dihidangkan secara rutin semasa hampir setiap mesyuarat terutamanya yang diadakan oleh pegawai kerajaan.

"Bagaimana kita boleh mengurangkan penggunaan teh apabila teh adalah minuman utama dalam semua mesyuarat rasmi?" dia bertanya.

'Chai' biasanya dijual dengan harga sekitar 45 rupee Pakistan (RM2.50) secawan di gerai-gerai di seluruh negara. – AFP

Advertisement