Anda di sini

EU eksport gas asli dari Mesir Kesatuan itu mahu hentikan kebergantungan kepada sumber Rusia

Advertisement

CAIRO: Rejim Israel dan Mesir merancang untuk meningkatkan eksport gas asli ke Eropah di bawah perjanjian yang ditandatangani semasa lawatan ke Kaherah kelmarin oleh ketua Kesatuan Eropah (EU) Ursula von der Leyen, tatkala blok itu berusaha untuk menamatkan penggunaan gas Rusia.

Von der Leyen juga menjanjikan bantuan makanan bernilai 100 juta euro untuk Mesir yang mengalami masalah kekurangan bijirin akibat perang Ukraine.

Presiden Suruhanjaya Eropah itu telah berikrar semasa lawatan ke Tel Aviv untuk berhadapan dengan Rusia yang dituduh mengugut negara-negara Eropah dengan penggunaan bahan api fosil.

Memorandum persefahaman mengenai eksport gas antara Mesir, Israel dan EU telah ditandatangani di Forum Gas Mediterranean Timur, kata kementerian petroleum Mesir.

Von der Leyen berucap semasa mesyuarat menteri-menteri EMGF di Kaherah menjelang pemeteraian perjanjian gas asli tiga hala antara Mesir, rejim Israel dan EU. - Gambar AFP
Von der Leyen berucap semasa mesyuarat menteri-menteri EMGF di Kaherah menjelang pemeteraian perjanjian gas asli tiga hala antara Mesir, rejim Israel dan EU. - Gambar AFP

Dalam sidang akhbar bersama Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi, von der Leyen berkata memorandum itu dipersetujui ketika Eropah berusaha untuk menghapuskan kebergantungan kepada bahan api fosil Rusia.

Di bawah perjanjian AS$15 bilion pada tahun 2020, rejim sudah mengeksport gas dari lapangan luar pesisir ke Mesir untuk dicairkan dan dihantar ke negara-negara Eropah.

Namun peningkatan mendadak dalam eksport gas dari Tel Aviv melalui Mesir memerlukan pelaburan infrastruktur jangka panjang yang besar.

Von der Leyen juga menjanjikan pelepasan segera 100 juta euro untuk menyokong masalah makanan di Mesir, negara paling ramai penduduk di dunia Arab, yang bergantung pada Rusia dan Ukraine untuk mendapatkan lebih 80 peratus gandumnya.

Beliau juga menjanjikan 3 bilion euro untuk program pertanian, pemakanan, air dan sanitasi pada tahun-tahun akan datang.

Sisi berkata, lawatan rasmi pertama von der Leyen telah membina momentum ketara dalam hubungan Mesir dengan EU kebelakangan ini.

Semasa lawatannya ke Tel Aviv, von der Leyen menuduh Moscow sengaja memutuskan gas yang dibekalkan ke negara-negara Eropah bagi membalas dendam terhadap sokongan kepada Ukraine.

"Ini merupakan satu langkah kemajuan yang besar dalam bekalan tenaga ke Eropah, dan juga untuk Mesir menjadi hab tenaga serantau," katanya di Kaherah, juga menonjolkan potensi tenaga boleh diperbaharui Mesir. – AFP

Advertisement