Anda di sini

Peguam Bangladesh dituduh hina Nabi Muhammad

Advertisement
DHAKA: Seorang peguam warga Bangladesh dilaporkan menghina Nabi Muhammad SAW di media sosial pada Rabu, menambahkan lagi ketegangan sedia ada di seluruh negara itu.

Hantaran di Facebook itu tular di media sosial ketika negara Asia Selatan yang majoriti penduduknya beragama Islam itu berang terhadap kenyataan menghina Nabi Muhammad SAW oleh dua pegawai Parti Bharatiya Janata (BJP) yang memerintah India, minggu lalu, lapor Agensi Anadolu.

Peguam lain yang mengadakan bantahan besar-besaran di Mahkamah Agung Bangladesh, tempat peguam itu bekerja, turut merosakkan pejabatnya.

Mereka turut mengadakan perhimpunan mendesak peguam itu segera dihukum, manakala Majlis Peguam Mahkamah Agung Bangladesh sudah pun menggantung keahlian peguam terbabit.

Satu kes sudah pun difailkan terhadap peguam terbabit di Balai Polis Shahbag, Dhaka pada malam Rabu.

“Kami sudah pun menerima kes yang diklasifikasikan sebagai diari aduan (GD) dan akan menyerahkan laporan itu kepada unit siber esok (Khamis) untuk siasatan,” kata pegawai bertugas, Moudud Hawlader kepada Anadolu. 

Kenyataan peguam itu amat mengguris sentimen Islam dan menggugat keharmonian penduduk, menurut laporan polis itu.

Seorang peguam kanan Mahkamah Agung, Md Jashim Uddin, menegaskan, tindakan yang dibuat peguam itu amat tidak dijangka.

“Kami menuntut hukuman teladan supaya tiada lagi yang berani melakukan perbuatan keji menghina Nabi bagi memusnahkan keharmonian penduduk negara ini,” kata Uddin.

Sementara itu, parti Islam terbesar Bangladesh, Islami Andolan, mengumumkan ia akan mengadakan perarakan ke pejabat Pesuruhjaya Tinggi India di Dhaka pada Khamis bagi menyerahkan memorandum menuntut supaya hukuman dijatuhkan ke atas dua pegawai parti itu.

Tunjuk perasaan besar-besaran turut diadakan di Bangladesh selepas solat Jumaat minggu lalu berhubung perkara itu.

Kerajaan India sebelum ini menyatakan, kenyataan yang dibuat pegawai parti itu - seorang daripadanya digantung keahlian manakala seorang lagi sudah pun dipecat - tidak menggambarkan pendirian sebenar parti. - BERNAMA

Advertisement