Anda di sini

Pakatan NATO bincang bantuan keselamatan untuk Ukraine

Advertisement
WASHINGTON: Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS) Lloyd Austin, rakan sejawatannya dari Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), dan rakan kongsi lain akan bersidang di Brussels Rabu dan Khamis bagi membincangkan mengenai bantuan keselamatan tambahan ke Ukraine dan kedudukan pasukan pakatan tentera di Eropah Timur memandangkan konflik yang masih berterusan.

Pertemuan itu berlangsung beberapa minggu selepas Kongres AS meluluskan bantuan US$40 bilion untuk Ukraine dan ketika Rusia mengukuhkan usahanya untuk menjamin wilayah Donbas, lapor Sputnik.

Mesyuarat Kumpulan Hubungan Pertahanan Ukraine akan diadakan pada Rabu, melibatkan penyertaan wakil dari hampir 50 negara yang sedang memberikan beberapa jenis bantuan kepada Ukraine.

Para pegawai akan menyemak bantuan keselamatan tambahan yang boleh diberikan kepada Ukraine dengan segera dan dalam jangka panjang susulan pertempuran yang masih berterusan dengan Rusia.

Menurut Setiausaha Agung NATO Jens Stoltenberg, kumpulan hubungan di Ukraine akan membincangkan untuk membekalkan Kyiv dengan senjata berat.

Stoltenberg dijadual mengadakan sidang akhbar pada Rabu.

Selepas mesyuarat itu, Austin akan menyertai menteri pertahanan NATO dan beberapa negara bukan anggota lain untuk membincangkan langkah pencegahan dan mengenai kedudukan pasukan pertahanan pakatan itu berhubung konflik Ukraine.

Sekutu NATO akan mengkaji keperluan jangka panjang dan jangka pendek NATO sepanjang kedudukannya di Eropah.

JIka ada sebarang pengumuman berkaitan dengan kedudukan pasukan pakatan di Eropah Timur ia akan dibuat semasa sidang kemuncak NATO di Madrid pada 29 hingga 30 Jun.

Ketua NATO akan mengakhiri acara dua hari itu dengan sidang akhbar pada petang Khamis. - BERNAMA

Advertisement